Gambar Sedih Selepas Banjir Surut Di Kelantan

Air mula naik mendadak pada pukul 10 malam Rabu lepas dan dalam tempoh tiga jam, paras air sudah mencecah kira-kira 1.5 meter.

"Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir kali ini teruk sebab itu mereka tidak sempat untuk memindahkan kenderaan masing-masing.

"Peralatan dalam rumah termasuk peti sejuk, mesen basuh, televisyen dan perabot habis ditenggelami air," katanya sambil memberitahu sebuah kereta dan dua buah motosikal miliknya turut ditenggelami air.
PASIR MAS - Rata-rata penduduk di Rantau Panjang menyifatkan banjir yang melanda kawasan berkenaan adalah yang terburuk sejak 10 tahun lepas.

Tinjauan Bernama mendapati Rantau Panjang dinaiki air antara 1 hingga 3 meter akibat limpahan air Sungai Golok.

Banyak premis perniagaan di sekitar pekan Rantau Panjang yang merupakan kawasan membeli-belah Zon Bebas Cukai ditenggelami air sejak dua hari lepas.

Berpuluh kenderaan turut ditenggelami air berikutan pemiliknya tidak sempat memindahkannya berikutan air naik begitu mendadak dan mereka tidak menjangka banjir akan berlaku seteruk itu.

Mohd Zin Abdullah, 61, berkata banjir melumpuhkan pekan Rantau Panjang yang turut memutuskan bekalan elektrik.

"Rumah saya dua tingkat. Air mula memenuhi tingkat bawah hanya dalam beberapa jam sahaja. Sekarang kami duduk di tingkat atas dan tidak boleh ke mana-mana sebab sekitar rumah masih di tenggelami banjir," katanya yang tinggal di Taman Rantau Mas.

Mohd Zin yang rumahnya berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau Masjid Beijing berkata beliau dapat menyaksikan banyak kereta dan motosikal yang dipakir di perkarangan masjid berkenaan ditenggelami air.

Hasmah Ramli, 40, berkata banjir kali ini adalah yang paling teruk kerana hampir keseluruhan kawasan pekan Rantau Panjang dinaiki air.

"Memang seingat saya banjir pada tahun 2004 dan 2007 sebelum ini tidak seteruk kali ini, ini sampai habis rumah saya tenggelam, hanya nampak atap sahaja.

"Kalau banjir sebelum ini air hanya naik pada paras betis dan masih boleh diduduki tetapi kali ini memang air naik terus ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini, hari ini.

Hasmah berkata sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan, bekalan elektrik di kawasan rumahnya juga terputus.

"Ini kali pertama saya melihat kereta ditenggelami air. Banyak kereta yang tidak dapat diselamatkan kerana air bergerak terlalu cepat," katanya.

Nurihah Mat Daud, 48, berkata beliau juga terkejut apabila melihat beberapa kenderaan ditenggelami air.

"Memang tak sangka air naik cepat. Rumah saya sendiri kalau sebelum ini air naik di tangga sahaja, tetapi kali ini air masuk hingga ke dalam rumah.

"Saya puji tindakan pantas pihak berkuasa yang peka dengan keadaan masyarakat dengan segera menghulurkan bantuan," katanya.

Che Rahimah Ibrahim, 60, berkata kawasan rumahnya juga turut dinaiki air sehingga paras pinggang.

"Kalau sebelum ini hanya naik sehingga paras betis, tapi banjir kali ini sungguh luar biasa. Memang amat teruk," katanya. - Bernama



Lagi gambar : Banjir Dahsyat Di Kelantan


















1 comment... add one now

AnonymousAnonymous 3:43 PM
Wahai rakyat kelantan dan kawasan2 yg berisiko banjir, selepas ini semua rumah wajib ada sampan atau boat di rumah utk persediaan demi keselamatan nyawa masing2. Sedey... Dgn penduduk Manek Urai...huhuhu. Ya Allah kau berilah rakyat kelantan kekuatan utk hadapi semua dugaan ini, tingkatkanlah iman mereka. Amin.