Pusat Kawalan Trafik Udara sepatutnya membenarkan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 mengelak cuaca buruk dengan memberi kebenaran untuk naik pada aras lebih tinggi.Manakala pesawat yang berada pada ketinggian yang sama yang tidak mengalami cuaca buruk patut diberi arahan mengelak ke kiri.Betul tak?
Warga India, Sudarsan Pattnaik, memberikan sentuhan terakhir buat karya yang dibina daripada pasir pantai bagi menzahirkan perasaannya terhadap pesawat yang masih hilang, Malaysia Airlines MH370 dan AirAsia Indonesia QZ8501, di pantai Puri, kira-kira 65km ke timur Bhubaneswar. Pix AFP
Dalam komunikasi terakhir dengan ATC iaitu enam minit sebelum pesawat itu hilang, salah seorang juruterbangnya meminta kebenaran untuk membelok ke kiri dan mendaki dari ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki bagi mengelak cuaca buruk.
Pengarah AirAsia Indonesia, Bambang Tjahjono berkata, permintaan juruterbang berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara oleh ATC kerana terdapat sebuah lagi pesawat yang terbang pada ketinggian 34,000 kaki.
“Apabila ATC mahu memberi kebenaran, pesawat QZ8501 telah hilang,” katanya.
Pesawat QZ8501 disahkan hilang pukul 7.24 pagi kelmarin selepas ia terputus hubungan dengan ATC setelah meminta kebenaran untuk naik ke paras ketinggian 38,000 kaki bagi mengelak awan hujan.
Kapal terbang jenis Airbus A320-200 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di Jawa Timur Indonesia menuju ke Singapura.
Pesawat tersebut membawa seramai 162 penumpang dan kru terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Perancis serta Britain.
Sementara itu, beberapa pakar penerbangan percaya kemungkinan pesawat berkenaan berdepan situasi yang dikenali sebagai ‘sel ribut hitam’ yang menyebabkan pembentukan ais di tolok kelajuan yang dikenali sebagai tiub pitot.
Pembentukan ais itu disahkan sebagai punca nahas sebuah pesawat penerbangan AF447 milik Air France yang terhempas di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada tahun 2009.
Seorang pakar penerbangan, Geoffrey Thomas berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa juruterbang berpengalaman yang percaya pesawat QZ8501 berhadapan cuaca buruk tetapi terbang terlalu perlahan untuk mengelak keadaan berkenaan.
“Pesawat QZ8501 terbang terlalu perlahan iaitu 100 knots (185 kilometer sejam) lebih perlahan daripada kelajuan yang sepatutnya. Terbang perlahan pada ketinggian tersebut sangat bahaya.
“Beberapa juruterbang percaya kru pesawat QZ8501 cuba mendaki bagi mengelak cuaca buruk tetapi entah bagaimana, mereka terbang terlalu perlahan .
“Ini boleh menyebabkan pesawat menjadi pegun sama seperti yang menimpa pesawat Air France AF447,” katanya.
Menurutnya, dia memperoleh plot radar yang menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian 36,000 kaki dan mendaki pada kelajuan 353 knot (653 kilometer sejam) iaitu 100 knot lebih perlahan.
“Pesawat ini sepatutnya mendaki pada kelajuan kira-kira 453 knot (839 kilometer sejam) dan jika bacaan radar ini benar ia menunjukkan pesawat berkenaan terbang terlalu perlahan,” jelasnya.
Tambah Thomas lagi, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada pesawat jenis Airbus A320-200 tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih.
“Kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca yang ekstrem.
“Mungkin ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan pesawat ini terbang terlalu perlahan.
“Jika sebuah pesawat terbang terlalu perlahan pada ketinggian tersebut yang mempunyai udara yang nipis, sayap kapal terbang akan kehilangan daya angkat menyebabkan ia pegun dan terhempas,” jelasnya. – Agensi