Sejak beberapa bulan lalu IS menggunakan khidmat doktor asing untuk mengeluarkan organ manusia bukan saja daripada pejuang mereka yang mati, malah daripada tawanan hidup, termasuk kanak-kanak dari seluruh Iraq dan Syria.
Kumpulan itu dikesan mendapatkan dana sehingga AS$2 juta (RM7 juta) setahun daripada pelbagai sumber termasuk pengeluaran minyak, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.
Perkara itu didedahkan portal berita al-Monitor yang memetik sumbernya sebagai pakar telinga, hidung dan tekak Siruwan al-Mosuli.
Menurut Siruwan, pegawai kanan IS melantik doktor asing untuk menjalankan sistem pemerdagangan organ meluas dari sebuah hospital di Mosul yang di bawah pentadbiran IS.
Katanya, pulangan perdagangan organ manusia amat menguntungkan.
Disebabkan itu, kata Siruwan, IS menubuhkan bahagian khas untuk mengendalikan penyeludupan organ yang bertanggungjawab menjual jantung, hati dan buah pinggang manusia di pasaran gelap antarabangsa.
“Saya mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila melihat ramai pakar bedah Arab dan asing diambil bekerja, tetapi dilarang berinteraksi dengan doktor tempatan. Desas-desus kemudian mengatakan mereka terbabit dalam aktiviti penjualan organ.
“Pembedahan dilakukan di dalam hospital sebelum organ diperlukan dipindahkan segera melalui rangkaian pemerdangangan manusia,” kata laporan itu.
Sementara itu, Assyrian International News Agency melaporkan, kebanyakan organ diseludup keluar dari Syria dan Iraq ke negara jiran seperti Arab Saudi atau Turki untuk dijual kepada kumpulan jenayah yang kemudian mendapatkan pembeli dari seluruh dunia. - Agensi