Perompak Masuk Dewan Samun 50 Makcik

Perompak semakin berani,walaupun ramai orang dalam dewan,mereka nekad merompak duit makcik-makcik yang bersusah payah kumpul duit,Lepas ni berjoli sakanlah mereka dengan duit haram itu.Perompak ini rasanya bukan orang luar tapi orang kawasan itu juga.

Sungai Petani: Dua lelaki bertopi keledar dan bersenjata pedang samurai menyerbu masuk dewan sebelum melarikan wang tunai RM11,000 hasil kutipan mingguan daripada peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari di Dewan Surau Taman Delima, suspek menahan seorang ahli AIM dan mengacukan pedang pada lehernya ketika 50 wanita sibuk mengira wang kutipan mingguan daripada peminjam untuk diserahkan kepada pegawai AIM.

Hindun Hasan, 64, berkata, semua ahli AIM itu ditugaskan membuat kutipan mingguan daripada peminjam sebelum berkumpul di dewan terbabit jam 11.30 pagi menunggu kehadiran pegawai AIM.

Menurutnya, sebaik selesai pendaftaran, ahli AIM mengeluarkan hasil kutipan untuk dikira dan tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara putih dinaiki dua lelaki berhenti di depan dewan itu.

“Dua lelaki berbadan besar dan bertopi keledar dengan bersenjata pedang samurai menyerbu masuk ke dalam dewan sambil menjerit ‘jangan bising’ sebelum menahan rakan saya berusia 60-an yang berada di tepi pintu.

“Rakan saya cuba melawan, tetapi lelaki terbabit meletak pedang samurai pada lehernya menyebabkan dia diam. Lelaki itu menyeret wanita berkenaan ke arah pegawai AIM dan memaksanya menyerahkan beg mengandungi wang tunai RM11,000.

“Sebaik mendapat beg terbabit, lelaki berkenaan berlari masuk ke dalam kereta dan rakannya yang menunggu memecut meninggalkan kawasan surau,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Katanya, sebuah lagi beg mengandungi wang tunai lebih RM5,000 sempat diselamatkan pegawai AIM terbabit yang menendangnya ke bawah meja ketika lelaki itu menyerbu masuk ke dalam dewan.

“Saya dan rakan terkejut dengan kejadian itu. Tidak sangka kami berhadapan dengan penjenayah bersenjata pedang samurai. Nasib baik lelaki itu tidak mencederakan kami dan ketika kejadian, ada kanak-kanak dalam dewan itu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Mohd Sobri Mohamad yang mengesahkan kes terbabit berkata, kejadian berlaku ketika sekumpulan ahli AIM mengira wang kutipan peminjam di dewan terbabit.

“Polis memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu merompak menggunakan senjata merbahaya,” katanya.

Kalau terserempak polis.. elok ditembak mati je.Nampaknya kutipan kena dibuat dalam kawasan balai polis supaya lebih selamat.

0 comment... add one now