Mengemas rumah memang satu kerja yang mudah dan tidak memenatkan sekiranya anda melakukan dengan cara yang betul.Ikuti langkah demi langkah dibawah agar kerja mengemas membersihkan rumah menjadi semakin mudah dan cepat.
Perkara pertama yang perlu diberi perhatian dalam pembersihan rumah ialah ia perlu bermula dari atas ke bawah.Mulakan dengan membersihkan habuk di kipas siling, mengelap rak tinggi, penyaman udara dan sebagainya. Kemudian diikuti pula dengan mengelap tingkap, pintu dan perabot yang ada.
Selepas selesai membersihkan perabot, boleh mula menyapu lantai dan buang semua sampah ke dalam tong sampah.
Mula mengemas di bahagian ruang tamu, kerana ruang itulah yang menjadi fokus utama ketika tetamu datang ke rumah.
Sudah tentu sofa yang bersih, lantai berkilat dan karpet yang bersih akan memberikan impresi yang positif daripada tetamu kepada tuan rumah.
Cara membersihkan sofa
Langkah:
Kenal pasti jenis fabrik sofa anda, ia diperbuat dari apa dan keadaannya pada masa itu; sama ada kotorannya akibat daki, tumpahan benda asing atau jenis bauan yang terdapat padanya.
Anda juga boleh periksa sama ada di sofa anda terdapat label yang dilekatkan oleh pengusaha yang kadangkala turut memberi panduan untuk mencuci sofa tersebut.
Apabila telah mengenalpasti jenis fabrik yang ada pada sofa dan cara untuk membersihkannya, pastikan anda mula mencuci bahagian yang tidak nampak pada pandangan hadapan. Caranya, basahkan bahagian tersebut dengan cecair pembersih dan biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum anda lap dengan tuala bersih. Jika ada warna yang luntur, sebaiknya jangan guna cecair pencuci tersebut, jika tidak melunturkan maka boleh teruskan cucian.
Sebelum membersih dengan cecair pencuci, pastikan buang kotoran yang ada pada sofa dengan menggunakan penyedut hampagas atau berus sabut.
Kain yang diperbuat daripada mikro fiber memang sesuai untuk membersihkan fabrik atau perabot. Tetapi pastikan menggunakan kain baru dan bukannya yang pernah digunakan untuk mencuci tandas kerana dikhuatiri kuman akan berpindah ke sofa tersebut.
Selepas cucian, gunakan pula penyembur fabrik untuk mengasingkan kotoran.
Selepas semburan, ada beberapa cara untuk mengekstrak kotoran yang tertinggal, caranya dengan; - Pembersihan satu kawasan kotor sahaja- Pengasingan kawasan yang basah- Pembersihan menggunakan buih- Pembersihan kering.
Cara membersih lantai
Mulakan dari sudut yang paling jauh hinggalah ke pintu masuk rumah.
Mulakan dengan mop habuk dan vakum untuk mengelakkan habuk daripada berterbangan. Bila lantai bersih daripada sebarang kotoran dan habuk, maka proses pembersihan lebih mudah dibuat.
Membersihkan lantai, pastikan habuk yang disedut dari penyedut hampagas itu dibuang ke dalam plastik sampah dan bukannya dalam lubang tandas.
Kemudian, isi baldi dengan air bersih. Tambahkan serbuk pencuci dan sebaiknya gunakan yang mempunyai agen pembasmi kuman.
Dengan mop pastikan anda mengelap semua lantai, perah mop supaya kesan pembersihan lebih baik.
Tukar air baru jika air dalam baldi tadi sudah berubah warna kelabu.
Zaman sekarang ada pelbagai mesin canggih yang membuat kerja mengemas semakin mudah.Apa kata anda laburkan duit untuk membeli mesin seperti vacuum berjalan automatik dan lain-lain gajet canggih dipasaran.Tentu anda semakin rajin mengemas kerana dah ada penolong.