Memang logik,daripada menyewa rumah flat yang kecil,naik turun tangga atau lif,lebih baik tinggal dirumah kontena,ada halaman rumah dan tanah sendiri.Boleh bercucuk tanam lagi.
(gambar hiasan)
Terletak di Kampung Sijangkang, Hulu Langat, Selangor, rumah itu mempunyai ruang tamu yang bercantum dengan bilik tidur, dapur serta tandas yang dilengkapi dengan pancuran mandian.
Uniknya, rumah Muhamad Azree bukanlah dibina daripada batu-bata atau papan, sebaliknya jejaka yang berasal dari Kluang, Johor itu berfikir di luar kotak dengan memilih kontena sebagai kediamannya.
“Sebenarnya saya bercadang untuk membuat rumah daripada karavan atau bas tetapi tiada undang-undang khusus untuk tujuan itu, jadi enggan mengambil risiko, saya memilih kontena untuk dijadikan kediaman,” ujarnya ringkas.
Dia yang mesra disapa Azree memberitahu, idea untuk membuat rumah daripada kontena tercetus selepas dia menyedari pemilikan rumah di sekitar ibu negara dalam kalangan golongan muda serta berpendapatan rendah dan sederhana sukar direalisasikan kerana nilai hartanah yang melambung tinggi.
(gambar hiasan)
“Berdasarkan pengiraan yang dibuat, saya terpaksa membelanjakan RM18,000 untuk sewa bilik itu selama lima tahun. Ia dilihat tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada saya.
“Dari situ, saya terfikir untuk mencari jalan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dan menyedari ia mampu direalisasikan menerusi rumah daripada kontena,” katanya yang berkhidmat sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat farmasi di Shah Alam.
Bagi menjayakan impiannya untuk memiliki rumah sendiri, Azree membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran balik kepada bank dalam masa lima tahun.