Pekerja Malaysia Top 4 Paling Tinggi Mengharapkan Bonus Akhir Tahun

Laporan Workmonitor Randstad suku keempat 2014 ini juga mendapati bahawa 83 peratus daripada responden di Malaysia menjangkakan kenaikan gaji dan bonus pada tahun ini, jauh di hadapan purata global sebanyak 50 peratus.
PETALING JAYA: Malaysia adalah antara lima negara di dunia di mana para pekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus akhir tahun yang baik, menurut satu kaji selidik.

Sifat optimis itu bagaimanapun tidak dikongsi oleh majikan di Malaysia. Mereka mahu pekerja kembali kepada realiti, menyatakan syarikat-syarikat di sini seolah-olah tidak akan berbelanja lebih disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Kaji selidik oleh firma pengambilan antarabangsa Randstad menunjukkan Malaysia menduduki tempat keempat dalam senarai 34 negara dengan harapan tertinggi untuk kenaikan gaji selepas India, Argentina dan Mexico.

Dan, enam daripada 10, atau 62 peratus daripada responden menjangkakan bahawa ekonomi Malaysia akan bertambah baik pada tahun depan.

Mengenai jangkaan pembayaran bonus, rakyat Malaysia menduduki tempat ketiga dalam senarai itu, selepas Mexico dan China.

Kajian itu dijalankan di antara 23 Oktober dan 5 November dan Pengarah Randstad Malaysia Jasmin Kaur berkata ketika Malaysia bersiap sedia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, pekerja di sini telah memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangkakan akan diberi bayaran setimpal.

Majikan, bagaimanapun menyangkal jangkaan itu, dengan berkata banyak syarikat pada masa ini agak gementar kerana keadaan ekonomi global dan lebih cenderung untuk berjimat dan bukannya membayar gaji dan bonus yang lebih tinggi.

Setiausaha Persekutuan Majikan Malaysia Datuk Shamsudin Bardan berkata tahun ini telah menjadi tahun yang 'sangat mencabar' untuk syarikat-syarikat dan kerajaan.

"Hasil daripada petroleum amat terjejas dengan penurunan harga minyak mentah dan prospek ekonomi juga tidak begitu baik.

"Jepun sedang berada dalam kemelesetan, dan ekonomi utama yang lain seperti China dan Eropah juga tidak menunjukkan keadaan yang baik," katanya.

Shamsudin berkata, walaupun ekonomi Malaysia masih berkembang, masih terdapat ketidakpastian dan syarikat pada masa ini bimbang mengenai prospek masa depan.

"Ini pasti akan memberi kesan kepada kuantum bonus dan kenaikan walaupun syarikat mampu untuk memberikannya," katanya.

Beliau berkata syarikat-syarikat yang terlibat dalam produk pengguna telah bersiap sedia untuk berdepan situasi sukar pada tahun hadapan kerana pengguna dijangka kurang berbelanja.

"Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan tahun depan akan memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna kerana mereka akan cenderung untuk menyimpan berbanding berbelanja kerana kenaikan harga," katanya.

Mengenai jangkaan pekerja untuk mendapatkan ganjaran yang dibayar kepada tanggungjawab yang meningkat di tempat kerja, Shamsudin berkata Malaysia masih jauh ketinggalan.

Katanya, dari segi purata nilai produktiviti, Malaysia berada jauh di belakang Singapura yang mempunyai purata *RM173,000 bagi setiap pekerja setiap tahun manakala Malaysia kira-kira RM60,000.
*
"Tahap produktiviti di negara-negara seperti Jepun, Korea dan Amerika Syarikat adalah kira-kira tujuh kali ganda lebih daripada kita," katanya.

Beliau berkata tenaga kerja mahir Malaysia hanyalah 28 peratus dan pekerja perlu mengambil inisiatif untuk lebih meningkatkan kemahiran diri bagi mendapatkan ganjaran yang lebih baik.

Randstad Workmonitor, dilancarkan pada tahun 2003, meliputi 34 negara di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat.

Kajian ini dijalankan melalui soal selidik dalam talian terhadap responden yang berumur antara 18 dan 65 tahun dengan saiz sampel minimum 400 temu bual bagi setiap negara.

0 comment... add one now