Datuk Seri Hasan Malek berkata pengusaha stesen minyak tidak akan diberikan autonomi untuk menentukan harga minyak sendiri walaupun langkah itu dikatakan mampu membantu rakyat menikmati harga minyak lebih rendah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, hanya Putrajaya yang mempunyai kuasa menentukan harga minyak.
"Tidak boleh, harga ini ditentukan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur mengenai cadangan pengusaha minyak diberi kuasa menentukan harga sendiri.
Semalam, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan syarikat minyak yang beroperasi dibenarkan menentukan harga sendiri supaya dapat "bersaing antara satu sama lain" dalam menawarkan harga runcit di stesen minyak.
“Pengusaha stesen minyak boleh menawarkan harga yang lebih rendah dari harga siling, yang mana boleh dilihat diamalkan di negara maju lain.
"Dengan cara ini, ia membolehkan satu persaingan di antara pengusaha minyak, selain memberi banyak pilihan kepada pengguna," kata Dzukefly di Kuala Lumpur semalam.
Mengenai kemelut kaedah penggunaan Mekanisme Harga Automatik (APM) yan diperkenalkan ke atas RON95 dan diesel, Hasan berkata perkara tersebut akan dijelaskan sekurang-kurangnya awal minggu depan.
Hasan menegaskan kaedah tersebut terlalu teknikal dan ia perlu diperhalusi supaya rakyat tidak terkeliru.
"Isu ini akan diterangkan pihak Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi supaya dapat diterangkan mengapa kita sampai ke angka ini.
"Ia terlalu teknikal sangat dan kita tidak mahu rakyat dikelirukan," katanya.
Datuk Seri Hasan Malek berkata hanya kerajaan mempunyai kuasa menentukan harga minyak, menolak cadangan persaingan dibenarkan bagi menguntungkan pengguna. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 5 Disember, 2014.
Pertikaian tercetus selepas pelaksanaan kaedah baru tersebut menyebabkan kenaikkan harga diesel kepada RM2.23 seliter tetapi harga RON97 turun sebanyak 9 sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun 4 sen seliter kepada RM2.26 seliter.
Harga runcit RON97 kini ialah RM2.55 seliter, RON95, RM2.30 seliter manakala diesel ialah RM2.20 seliter.
Pada 21 November lepas, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengampunan terkawal mulai 1 Disember.
Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet itu adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010, kata Hasan.
"Melalui kaedah pengapungan terkawal, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya, ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON97, RON95 dan diesel juga akan meningkat dan begitu sekiranya berlaku sebaliknya (harga pasaran minyak mentah dunia menurun)."
Mengulas isu berasingan mengenai dakwaan terdapat stesen menyembunyikan minyak, Hasan berkata ia tidak berlaku cuma bekalan yang dihantar ke stesen minyak lambat sampai selepas mendapat maklum balas daripada pengusaha minyak.
"Hanya bekalan sahaja lambat sampai, pengusaha sudah memberitahu saya tiada stesen yang dikatakan menyembunyikan minyak," kata Hasan. – 5 Disember, 2014.-The Malaysian Insider