Sekiranya anda berhajat untuk memiliki sebuah kereta,ada beberapa jenis insuran kereta yang perlu anda ketahui dan membuat perbandingan.Polisi insuran perlu difahami dengan teliti sebelum anda membuat pembelian.
Siapa dan apa yang dilindungi akan bergantung pada jenis insurans kereta yang anda beli.
Pihak yang terlibat ialah anda sebagai pihak pertama, syarikat insurans sebagai pihak kedua dan orang lain yang terlibat dalam kemalangan sebagai pihak ketiga.
Pengecualian - Polisi insurans kereta komprehensif yang standard TIDAK melindungi:
* Kematian atau kecederaan diri anda sendiri;
* Liabiliti terhadap tuntutan daripada penumpang kenderaan anda
* Kecurian aksesori kenderaan yang tidak dipasang di kilang (pemain cakera padat, kerusi kulit, rim sport dan sebagainya) kecuali aksesori tersebut telah dinyatakan dalam Jadual polisi kontrak
* Kerugian turutan, susut nilai, haus dan lusuh, kerosakan elektrik atau kegagalan mekanikal atau pecah; dan
* Kerugian/kerosakan akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh.
Sila rujuk kontrak polisi anda untuk mengetahui senarai penuh pengecualian polisi.
Walau bagaimanapun, anda boleh membayar premium tambahan untuk melindungi sebahagian daripada pengecualian di atas seperti banjir, tanah runtuh atau liabiliti anda terhadap tuntutan daripada penumpang kenderaan anda (penumpang yang merupakan ahli keluarga terdekat anda tidak akan dilindungi).
Kajian kes: Tuntutan kecederaan Ahmad dan kakaknya tidak dibayar
Ahmad membeli polisi insurans kereta komprehensif dan membayar premium tambahan untuk liabiliti perlindungan penumpang. Beberapa bulan kemudian, semasa Ahmad memandu bersama-sama kakaknya Aida pergi ke bandar, kereta tersebut terbabas dan melanggar sebatang pokok.
Ahmad dan Aida telah mengalami kecederaan. Polisi insurans tersebut hanya membayar kos membaiki kenderaan Ahmad dan bukan tuntutan kecederaan pada diri Ahmad kerana polisi tersebut tidak melindungi kematian atau kecederaan individu yang membeli polisi insurans ini. Walaupun Ahmad mempunyai liabiliti perlindungan penumpang, tuntutan kecederaan pada diri Aida tidak dibayar kerana dia merupakan salah seorang ahli keluarga terdekat Ahmad.
Apakah yang perlu anda tahu apabila membeli insurans kereta?
- Tanggungjawab Pengisytiharan Maklumat
Apabila menginsuranskan kereta anda, anda perlu mendedahkan semua fakta material (material facts) kepada syarikat insurans seperti kemalangan yang telah dialami atau pengubahsuaian enjin. Sekiranya anda gagal berbuat demikian, syarikat insurans mungkin akan menolak tuntutan anda atau sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap anda. Dalam kes sedemikian, anda sendiri bertanggungjawab terhadap tuntutan tersebut.
- Polisi Nilai Pasaran atau Nilai Disetujui
Insurans motor komprehensif boleh melindungi anda daripada kerugian kemalangan dan kehilangan kereta sehingga nilai berikut:
* Nilai Pasaran - nilai kereta anda sebelum berlaku kemalangan; atau
* Nilai Disetujui - nilai kereta yang dipersetujui oleh anda dan syarikat insurans anda pada permulaan kontrak dan pada setiap kali pembaharuan insurans motor.
- Sekiranya polisi anda berdasarkan Nilai Pasaran:
Anda perlu memastikan kereta anda diinsuranskan dengan sewajarnya kerana ia akan memberikan kesan pada jumlah yang boleh anda tuntut sekiranya anda mengalami kerugian. Bagi kereta baru, jumlah yang diinsuranskan kebiasaannya mengikut harga belian. Bagi kereta lain, jumlah yang diinsuranskan perlu berdasarkan nilai pasaran kenderaan semasa polisi dibeli.
* Insurans terkurang: jika jumlah yang diinsuranskan adalah lebih rendah daripada nilai pasaran, perbezaan tersebut dianggap sebagai ditanggung oleh anda sendiri. Sekiranya berlaku kerugian, anda hanya akan mendapat sebahagian daripada pampasan.
* Insurans berlebihan: jika jumlah yang diinsuranskan adalah lebih tinggi daripada nilai pasaran, pampasan maksimum yang anda akan terima ialah nilai pasaran kenderaan tersebut. Anda tidak boleh mendapat keuntungan daripada tuntutan insurans (prinsip indemniti) Oleh itu, kereta anda perlu diinsuranskan pada nilai pasaran semasa bagi mengelakkan daripada insurans terkurang atau insurans berlebihan.
Mulai 1 Ogos 2011, syarikat insurans (dan juga pengendali takaful) atau ejen insurans dikehendaki menasihati anda mengenai nilai pasaran semasa kereta sebelum anda membeli atau memperbaharui perlindungan insurans motor.
* Nasihat mengenai nilai pasaran semasa hendaklah berdasarkan Sistem ISM Automobile Business Intelligence (sistem ISM-ABI) atau mana-mana pangkalan data penilaian kenderaan lain yang berwibawa.
* Nilai pasaran semasa kereta anda akan dinyatakan dalam notis pembaharuan atau helaian penzahiran produk (product disclosure sheet) yang dikeluarkan kepada anda sebelum anda membeli polisi tersebut.
* Nasihat akan diberikan tanpa sebarang bayaran tambahan.
* Jika anda bersetuju untuk menginsuranskan pada nilai yang dicadangkan oleh syarikat insurans, anda tidak akan menerima jumlah pampasan yang lebih rendah disebabkan oleh insurans terkurang.
* Bagi memastikan keseragaman nilai pasaran kereta anda ketika insurans diambil adalah selaras dengan nilai pasaran kereta tersebut ketika tuntutan dibuat, syarikat insurans anda seharusnya merujuk kepada pangkalan data yang sama untuk menentukan nilai pasaran kereta anda.
- Sekiranya polisi anda berdasarkan Nilai Disetujui:
Anda dan syarikat insurans bersetuju dengan nilai kereta pada permulaan kontrak dan pada setiap kali pembaharuan insurans. Jika kereta anda mengalami kerosakan menyeluruh atau dicuri, syarikat insurans akan membayar penuh jumlah yang diinsuranskan. Beberapa buah syarikat insurans ada menawarkan polisi nilai disetujui kepada pelanggan mereka.Sumber: Bank Negara Malaysia
Insurans kereta adalah satu bentuk sekuriti yang disediakan oleh syarikat insurans kepada pemilik atau pemandu kereta terhadap sebarang kemungkinan tuntutan kerosakan dan / atau kerugian akibat pemanduan kereta di atas jalan.
Ini adalah struktur asas contoh insurans kereta: Apabila anda bayar premium kepada syarikat insurans kereta anda, premium anda sekali dengan premium pemegang-pemegang polisi yang lain akan dikumpulkan ke dalam sebuah “dana” yang ditubuhkan oleh penginsurans. Syarikat insurans akan menguruskan dana ini, dan wang dari dana ini akan digunakan dalam pembayaran ganti rugi kepada pemegang polisi bila berlaku kemalangan.
Mengapa perlu beli insurans kereta?
Pemandu di Malaysia, di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987, adalah dimestikan membeli insurans kereta – sekurang-kurangnya Perlindungan Pihak Ketiga. Jenis-jenis perlindungan yang lain (Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian atau Perlindungan Komprehensif) adalah pilihan pemandu dan tidak dimestikan.
Walaupun sesetengah dari kita percaya bahawa pemanduan selamat dapat memastikan sekuriti diri dan juga orang lain, maklumat yang dikumpulkan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia menunjukkan sebaliknya. Menurut Persatuan tersebut, jumlah kenderaan bermotor yang terlibat dalam kemalangan tidak menurun di tahun-tahun kebelakangan ini.
Ramai orang tak sedar akan potensi kos atas kerosakan yang berlaku dan peranan yang dimainkan oleh insurans dalam melindungi kita dari peristiwa yang tak diingini. Mempunyai perlindungan insurans kereta dapat meringankan beban kewangan apabila berlaku kemalangan atau kecurian terhadap kenderaan anda. Lebih penting lagi, ia melindungi anda dari menjadi mangsa kepada pemandu yang merbahaya.
Bandingkan insurans kereta
Walaupun kos sesetengah pakej insurans kereta adalah mahal, terdapat banyak opsyen yang anda boleh pilih bergantung kepada jenis dan liputan perlindungan yang anda mahu. Di Malaysia, premium insurans kereta dikawal dan ditetapkan oleh Bank Negara, yang bermakna untuk pakej atau perlindungan tertentu, premiumnya adalah sama walaupun anda pilih syarikat insurans yang berlainan.
Ini bererti apabila anda buat perbandingan di antara syarikat insurans, anda perlu bandingkan ciri atau faktor selain dari harga. Sesetengah ciri atau faktor yang kita telah kenal pasti harus dipertimbangkan termasuklah:
- Perkhidmatan nilai tambahan, contohnya bantuan kecemasan percuma
- Mudah membuat pembaharuan, contohnya kemudahan membuat pembaharuan atas talian
- Kerumitan proses tuntutan
- Jumlah dan lokasi bengkel panel
- Perkhidmatan pelanggan