Sanggup Jahit Lidah Untuk Kurus Jadi Ratu

Sanggup Jahit Lidah Untuk Kurus Jadi Ratu
Caracas: Walaupun sudah berbelanja sebanyak AS$7,000 (RM23,000) untuk pembedahan hidung dan membesarkan payu dara bagi memenuhi impiannya memenangi Ratu Venezuela, Maya Nava merasakan semua itu tidak pernah mencukupi. Malah gadis berusia 18 tahun itu sanggup mengambil langkah drastik menjahit plastik di lidahnya semata-mata untuk memastikan beliau kekal kurus. 
“Ia membuatkan saya turun berat badan dengan lebih cepat,” katanya kepada rancangan Extreme Beauty Queens: Secrets of South America yang disiarkan oleh BBC3. 

Ambil makanan cecair 

“Anda makan (benda) sama tetapi dalam bentuk cecair,” katanya yang mengakui jahitan lidah akan membuatkan beliau terlalu sakit jika memakan makanan pejal. 

Maya adalah salah seorang daripada ribuan gadis remaja yang terlalu taksub untuk dimahkotakan sebagai Ratu Venezuela dan keluarga mereka pula akan melakukan apa saja untuk mencapai impian berkenaan. 

Jaminan masa depan 

“Ia akan memberi jaminan masa depan untuk saya dan keluarga. Ia membolehkan kami untuk meninggalkan kawasan perumahan miskin ini,” katanya. 
Keazaman Maya untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Beliau tinggal di kawasan perumahan Santa Cruz di Caracas di mana satu pembunuhan dilaporkan berlaku setiap 40 minit. 

Dengan mencatatkan kemenangan paling banyak dalam Ratu Dunia berbanding negara lain dan memiliki 50 juta penonton televisyen bagi pertandingan akhir di peringkat kebangsaan, pertandingan ratu cantik disifatkan sebagai satu perniagaan besar di Venezuela. 

Raja Kecantikan 

Diselia ‘Raja Kecantikan’ negara itu, Osmel Sousa, 67, peserta menghabiskan masa enam bulan hingga ke peringkat akhir dalam satu ‘bootcamp’ kecantikan di mana kamera sering memerhati mereka dan pembedahan menjadi rutin. 

Miss Venezuela House dikendalikan orang seperti Sousa yang sentiasa memeriksa perkembangan gadis berkenaan dan sering memberikan nasihat. Malah beliau menggunakan ketajaman matanya untuk kesempurnaan bahagian yang perlu diperbaiki. 

Tetapi tidak semua bersetuju dengan pembedahan melampau yang perlu dilalui peserta. Ibu kepada seorang peserta, Lara menegaskan bahawa anak perempuannya enggan melakukan pembedahan kerana ia akan menjadi satu pertandingan yang tidak adil. 
AGENSI

0 comment... add one now