Gigi berlubang, rapuh, sensitif dan susunan yang tidak sekata, antara masalah biasa yang dihadapi kebanyakan individu, malah sesetengahnya terutama kalangan warga emas terpaksa menggantikan dengan gigi palsu.
Meskipun kurang selesa, sedikit sebanyak gigi palsu membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
Meskipun kurang selesa, sedikit sebanyak gigi palsu membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
Bukan sekadar untuk mengunyah makanan bagi memudahkan proses penghadaman, malah gigi berperanan dalam melancarkan proses komunikasi dengan baik dan jelas.
Namun, gigi palsu juga mempunyai halangan tersendiri seperti terpaksa menunggu lama untuk disiapkan, sesetengahnya longgar serta tidak dapat melekap dengan tepat pada gusi dan potongan yang tidak sekata sehingga menyukarkan ketika mengunyah makanan.
Satu perubahan baharu dalam industri penghasilan gigi palsu telah dibawakan ke negara ini oleh Kumpulan Pergigian Q&M Malaysia, yang dijangka mampu mengubah pandangan orang ramai terhadap pemakaian gigi palsu dan penyelesaian kepada masalah gigi.
Jika sebelum ini melalui kaedah konvensional pengguna perlu menunggu sehingga berminggu-minggu bagi gigi palsu mereka siap, kini tidak lagi dengan rekaan gigi palsu menggunakan janaan komputer.
Kaedah yang dikenali sebagai rekaan dengan bantuan komputer dan pembuatan dengan bantuan komputer (computer-aided design and computer-aided manufacturing) atau CAD/CAM, diyakini lebih cepat dengan masa yang ditetapkan selama satu jam atau paling lama dua hingga tiga hari.
Menurut Dr. Foo Mooh Thong dari Kumpulan Pakar Pergigian Q&M Malaysia, kaedah tersebut menggunakan teknik kurang invasif melalui proses pengimejan tiga dimensi bagi menggantikan kaedah konvensional dalam penambah baik gigi yang telah rosak.
Beliau menambah, kaedah baharu tersebut dilihat lebih berkesan untuk teknik tampalan gigi, sarung gigi dan kaedah implan pergigian lain dengan penggunaan mesin pemotong gigi palsu yang mampu memotong bahan lebih kuat seperti zirkonia, logam dan seramik.
“Teknologi baharu ini dilihat lebih baik berbanding kaedah konvensional kerana mampu menghasilkan gigi palsu dalam masa singkat dan lebih tepat menggunakan bantuan komputer.
“Imej yang diperoleh juga lebih jelas melalui rakaman kamera yang dimasukkan dalam mulut pesakit hanya dalam masa tiga minit.
“Kaedah tersebut bukan sahaja menggunakan tiga dimensi yang jelas dan cepat malah dapat menunjukkan imej gigi yang perlu dihasilkan dan dibaiki dengan kadar segera,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan kaedah CAD/CAM , di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Dr. Mooh Thong lagi, sebaik imej dirakamkan, doktor gigi akan menghantar imej berkenaan ke makmal dan dikendalikan oleh juruteknik yang juga mempunyai kepakaran dalam bidang pergigian menggunakan perisian CAD/CAM.
Katanya, melalui perisian tersebut pesakit tidak perlu melalui proses mendapatkan acuan selama dua jam setiap kali mahu membuat gigi palsu seperti kebiasaannya.
Keadaan ini membantu menjimatkan masa pesakit dan juga memudahkan tugasan doktor dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kebarangkalian untuk berlaku kesilapan dari segi ukuran gigi palsu yang dihasilkan untuk pesakit juga tidak timbul,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pergigian Q & M (S), Dr. Ng Chin Siau berkata, pihaknya akan melakukan promosi penggunaan CAD/CAM dalam kalangan pengamal pergigian di Malaysia.
Ini sekaligus katanya, bagi meningkatkan pengetahuan tentang kelebihan penemuan teknologi terbaharu tersebut. – Siti Aishah Yusoff
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/gigi-palsu-guna-janaan-komputer-1.34380#sthash.FfJRuaCR.dpuf