Rasanya tiada ibu-bapa di dunia ini yang ingin melihat anaknya lahir dan membesar sebagai pondan atau tomboy.Tomboy atau tomboi adalah seorang perempuan yang ingin menjadi lelaki.
Masyarakat mesti cuba memahami situasi, bukan menuding jari kepada keluarga
PUNYA kulit putih mulus, bulu mata lentik menawan tetapi sayang Joey, 19, lebih berbangga dikenali dengan imej tomboy. Biar berlagak kasar dan bergaya persis anak jantan, dia sebenarnya tidak mampu menyembunyikan aura feminin di sebalik raut wajah lembutnya. Sifat kelelakian dirasakan semakin dominan apabila dapat memiliki Ina, 21, sebagai kekasih.
Kes seperti Joey yang ingin dikenali menerusi identiti lelaki bukan perkara menghairankan. Di luar sudah ramai ‘Joey’ dengan pelbagai lagi karektor tersendiri. Mereka tidak kisah digelar tomboy atau pengkid. Hakikatnya, golongan ini cukup bangga tatkala diri menjadi perhatian semetelah mampu mendampingi gadis cantik.
Lihat saja di kota besar, tanpa berselindung mereka tidak malu merangkul mesra pasangan atau menggenggam erat tangan kekasih di khalayak ramai. Mereka mungkin mampu ‘menipu’ pandangan walau berbengkung untuk menyembunyikan payu dara, namun realitinya keadaan biologi tetap seperti wanita lain-boleh mengandung dan melahirkan.
Begitupun, fenomena pengkid, tomboy atau lesbian tidak harus dijadikan isu tuding menuding antara semua pihak apatah lagi ketika masyarakat dikejutkan beberapa kes mengenai remaja perempuan ‘dilarikan’ tomboy, banyak faktor lain yang mendorong remaja terdedah kepada hubungan sejenis.
Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Jaslaile Suzana Jaafar, berkata fenomena wanita berlagak sebagai lelaki atau lelaki mengubah penampilan menjadi wanita menggambarkan orientasi s#ksual remaja yang disebabkan faktor sampingan termasuk genetik, hormon, kognitif serta persekitaran.
Katanya, situasi ini bukan disebabkan penerimaan masyarakat masa kini yang sering dilabel bersikap terbuka dalam segala hal tetapi kelonggaran nilai ketimuran serta kekurangan pengetahuan agama yang terhakis tanpa disedari menjadi pemangkin kepada fenomena itu.
“Kita tidak boleh salah menyalah sesiapa dalam hal ini. Daripada kajian, fenomena keinginan s#ksual atau kecenderungan seseorang kepada teman sejenis dipengaruhi psikologi ditambah faktor sampingan merangsang lagi hasrat remaja menjadi seperti dimahukan.
“Sebagai ahli dalam masyarakat, kita mesti cuma memahami situasi yang melanda mereka bukan menyalahkan atau menuding jari kepada keluarga yang dikatakan tidak tahu mendidik anak. Barangkali ia satu gambaran kepada masalah psikologi lebih berat atau simptom harga kendiri lebih rendah.
“Jika setiap orang hanya menuding jari, permasalahan ini tidak akan menemui penyelesaian. Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan perubahan sosial, remaja perlu mempunyai jati diri serta sokongan supaya mereka tidak mudah terjebak dengan anasir kurang sihat,†katanya.
Akuinya, sindrom tomboy atau aliran yang sama dengannya kadangkala bersifat sementara yang cuba dirasai tatkala menjejaki alam remaja sekali gus keinginan bereksperimentasi dengan khayalan boleh beransur hilang apabila mencecah zaman dewasa juga hasil bantuan insan sekeliling.
FAKTA
# Fenomena disebabkan faktor seperti sikap dan pembawaan, naluri, sistem kebakaan dan biologi serta paling besar faktor nafsu dan pilihan dalam hubungan s#ksual individu.
# Pesakit trans#ksual sebenarnya mengalami kekeliruan mengenai diri sendiri daripada aspek identiti s#ksual.
# Usul memaktubkan hubungan sejenis sebagai hak asasi mula dibentangkan kepada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva April 2003, tetapi ditangguhkan oleh Libya, pengerusi suruhanjaya 53 ahli itu.
# Perkahwinan perempuan dengan perempuan banyak berlaku di Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Australia dan beberapa negara Eropah serta negara maju lain.
# Beberapa negeri di Amerika, termasuk Hawaii dan Vermont mempunyai undang-undang mengiktiraf perkahwinan sejenis.
# Kajian menganggarkan kira-kira 10,000 orang di Malaysia terbabit dalam trans#ksual dengan 70 hingga 80 peratus daripadanya adalah bangsa Melayu, selebihnya Cina, India dan bangsa lain.
INFO
Tomboy:
# Berperwatakan ala lelaki.
# Bukan pengkid atau lesbian.
# Suka aktiviti lasak dan pekerjaan dimonopoli lelaki.
# Suka pakaian menyerupai lelaki.
# Boleh diubah menjadi feminin.
# Mempunyai perasaan terhadap lelaki.
# Boleh dikikis dengan bantuan keluarga dan rakan.
Pengkid:
# Tubuh badan seperti lelaki.
# Membalut payu dara menggunakan bengkung.
# Benci melihat tubuh menyerupai wanita.
# Memakai pakaian besar.
# Memotong rambut pendek seperti lelaki.
# Tertarik hubungan s#ks dengan wanita.
# Bangga menunjukkan pasangan di khalayak ramai.
Lesbian:
# Tidak semestinya kelihatan seperti lelaki.
# Kebanyakan menonjolkan sifat wanita sejati.
# Bernafsu s#ks terhadap wanita.
# Menerima diri sebagai wanita.
# Sangat menyukai wanita cantik.
# Dalam hubungan s#ks, antara seorang bersifat dominan.
# Kuat cemburu.