Lelaki lembut Jadi bahan Pembelajaran Murid Tingkatan 1 Pada 2015

Pendedahan isu lelaki lembut untuk pelajar tingkatan satu adalah terlalu awal."Berbeza dengan pemikiran pelajar di peringkat menengah atas, minda pelajar tingkatan satu perlu diterapkan dengan nilai-nilai agama dan moral kurang kompleks bagi membantu mereka berfikir dengan betul dan mengelakkan daripada terjebak ke kancah tak diingini.

Novel Destinasi Impian sedia untuk menjadi bahan pembelajaran pelajar Tingkatan Satu di beberapa negeri, tahun depan.
PETALING JAYA: Kisah seorang lelaki lembut telah diangkat sebagai naskhah teks pelajar Tingkatan Satu bagi subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu, tahun depan.

Novel Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini itu mengisahkan bagaimana Firdaus, pelajar lelaki berperwatakan lembut berdepan cabaran apabila kemampuannya sering diperkecilkan rakan-rakan serta ahli keluarganya sendiri.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan mengesahkan pemilihan Destinasi Impian akan digunakan di sekolah menengah seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP pula memaklumkan, semua naskhah yang dipilih untuk Komsas telah diedarkan ke sekolah-sekolah seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran.

Selain Destinasi Impian, novel terbitan DBP lain yang dipilih untuk pelajar Tingkatan Satu ialah Sejambak Bakti, Pelari Muda dan Formula Termodinamik.

Berdasarkan pembacaan, adanya nilai-nilai murni dan pengajaran di akhir cerita, tetapi watak Firdaus yang lembut membimbangkan sesetengah ibu bapa kerana menganggap isu yang diketengahkan kurang sesuai untuk pelajar berusia 13 tahun.

Awang Sariyan berkata, Destinasi Impian telah melalui beberapa peringkat tapisan dan penilaian sebelum dimuktamadkan sebagai buku teks Komsas.

"Mengikut panel penilai, memang tidak ada masalah dengan novel ini kerana Firdaus bukan bapuk, tetapi diejek sebagai bapuk oleh rakan-rakan hanya kerana dia seorang lelaki lembut.

Namun Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd Karim berkata, walaupun novel itu mengetengahkan realiti kehidupan, tidak mustahil langkah membawa pembaca ke arah yang positif itu akan memakan diri apabila disalah tafsir oleh pelajar yang baharu memasuki alam sekolah menengah.

"Mungkin novel itu boleh diperkenalkan untuk pelajar tingkatan tiga atau empat, atau lepasan PMR (Penilaian Menengah Rendah). Kerajaan perlu kaji semula," katanya kepada mStar Online.

Jais berkata, tidak mustahil juga pelajar lebih cenderung melihat novel itu dari sudut pandang tersendiri berbanding apa yang dibimbing oleh guru.

Ini kerana, katanya, terdapat elemen lebih mudah menarik perhatian dalam karya ini seperti percintaan, naluri, dan jiwa remaja yang memberontak.

"Guru sekarang banyak bebanan dan tanggungjawab. Jika dibiar pelajar membacanya sendirian, ia mungkin menyebabkan imaginasi pelajar itu merayau-rayau di luar kawalan, malah ia juga mungkin dijadikan bahan lawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian mengkaji semula pemilihan naskhah itu sebagai buku teks, malahan katanya, guru-guru juga perlu memainkan peranan dalam memastikan nilai positif dapat diterap dalam diri pelajar melalui novel tersebut.

Selain itu, beberapa pihak yang terbabit dalam panel pemilihan buku teks memaklumkan, syarat ketat ditetapkan Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) kementerian sebelum sesebuah karya itu dipilih.

"Pada sesi taklimat, kami akan diingatkan supaya memastikan sesebuah naskhah yang dinilai itu tidak menimbulkan isu sensitif seperti perkauman termasuk watak lelaki lembut, keganasan dan percintaan bagi memastikan pelajar tidak terpengaruh dengan elemen seumpama itu.

"Bagaimanapun, jika wataknya tidak sempurna tetapi ada nilai murni yang diterapkan, mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk proses tapisan seterusnya," katanya.


Sinopsis Destinasi Impian:


Mengisahkan tentang Firdaus, anak lelaki tunggal dalam keluarga dan dibesarkan bersama empat kakak dan seorang adik perempuan.

Tidak seperti rakan-rakan sama jantina dan seusianya yang gemar melakukan aktiviti lasak, faktor persekitaran membuatkan dia lebih suka menghabiskan masa di rumah membantu ibu mengemas, menggubah bunga atau membaca majalah hiburan.

Wataknya yang juga digambarkan sebagai anak manja ini menyebabkan dia sering disindir dan dicabar oleh rakan-rakan, termasuklah adik perempuannya, Azlina yang lebih optimis dan berani.

Suatu hari, Firdaus, Azlina dan seorang lagi sepupu mereka telah dicabar oleh datuk mereka untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer dari Klang ke Pantai Morib.

Firdaus tidak gemar dengan aktiviti itu namun disebabkan ia adalah satu cabaran dan Azlina serta sepupunya juga bersungguh-sungguh mencabarnya, maka dia menyahut juga cabaran itu walaupun dengan rasa berat hati.

Untuk sampai ke destinasi impiannya, Firdaus bukan sahaja sering merungut, malah perlu berdepan cabaran dan halangan, termasuklah diejek dan disindir oleh Azlina yang sebenarnya mahu abangnya menunjukkan ciri-ciri lelaki sejati dan seorang abang.

Firdaus hampir putus asa, namun perjalanan itu sendiri telah memberikannya pengajaran dan pengalaman baharu untuk diri dan kehidupannya.

0 comment... add one now