Abby Jelaskan Punca Tayang Gambar Sambut Harijadi Kekasih-Abby Abadi memang tidak pernah sunyi daripada kisah-kisah peribadi. Bukan kerana pihak media yang sering menjaja, tetapi bekas anggota kumpulan Elite ini sering berkongsi di laman-laman sosial.
Jadi tidak hairanlah jika ada komen-komen peminat dunia hiburan yang berpendapat Abby suka mencari perhatian dengan kisah-kisah peribadi terutama yang mengaitkan lelaki. Terbaru, ketika orang masih lagi bercerita tentang kes hutangnya dengan bekas suami, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan memuat naik gambar seorang lelaki dengan kapsyen yang boleh mengundang pelbagai spekulasi yang berbunyi:
"Kami kawan biasa tapi dia punya tempat istimewa di hati saya. Kerana apa? Kerana dia selalu ada di saat saya memerlukan teman bicara. Sejujurnya saya memang sayangkannya sebab kami kawan lama. Dari zaman ‘lagha’ sehingga saya berhijrah. Sampai saya berkahwin hinggalah saya bercerai. Dia tak pernah tak ada bila saya perlukan. Baiknya dia, tak pernah berburuk sangka kepada saya sehingga saya rasa bersalah sangat."
Abby mengakui sudah empat tahun mengenali lelaki terbabit. Menurut Abby, lelaki yang dikenali dengan nama Khairul Azli itu merupakan seorang ustaz. Adakah itu cinta baru Abby?
Ketika dihubungi, Abby menegaskan hubungannya dengan lelaki tersebut tidak lebih dari sekadar kawan. Bahkan, Abby memberitahu dia memuatnaik gambar terbabit kerana ingin menjawab fitnah.
“Saya dah kenal dia ketika saya masih single satu masa dulu. Tapi tak ada pula orang nak kaitkan kami sedangkan dia juga sering berkongsi tentang saya dan anak-anak di laman sosial.
Saya muatnaik gambar itu untuk menjawab gosip yang diiringi fitnah mengatakan saya sudah temui cinta baru. Saya cuma nak jelaskan bahawa dia merupakan kawan lama saya. Sebelum ini saya tak pernah buat apa-apa kenyataan tentang dia. Orang yang menyebarkan fitnah ini terlebih dahulu,” ujar Abby berkongsi dia lebih berbesar hati jika pihak media dapat memberi fokus tentang kes bekas suaminya berbanding gosip ini.
“Saya sangat besar hati jika media dapat membantu saya mendapatkan hak saya semula. Bagi saya, kenyataan yang dibuat oleh Farhan lebih memburukkan diri dia. Hal itu yang penting buat masa ini,” ujar Abby.-gua.com.my