Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi ketika remaja perempuan itu menunggang motosikal seorang diri di kawasan berkenaan, sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali yang mengayuh basikal.
Tumpat: Seorang lelaki berusia 36 tahun cedera disyaki dibelasah orang kampung selepas ditangkap ketika meragut beg tangan milik remaja 17 tahun di tepi jalan besar dekat Simpang Stadium Mini Pengkalan Nangka, di sini, hari ini.Ketua Polis Daerah Tumpat Supritendan Zaharuddin Rasip berkata, lelaki berkenaan meragut beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam raga motosikal dan mangsa turut diugut akan dicederakan.
"Bagaimanapun, mangsa sempat meminta bantuan orang kampung yang mengejar suspek dan dia berjaya ditahan di tepi jalan besar dekat simpang Stadium Mini berkenaan.
"Turut ditemui bersamanya adalah beg tangan remaja terbabit yang mengandungi kad pengenalan mangsa, telefon bimbit Nokia dan wang tunai berjumlah RM200," katanya.
Zaharuddin berkata, ketika polis tiba di tempat kejadian, suspek lelaki itu cedera dipercayai ketika bergelut dengan orang kampung dan dia dihantar ke Hospital Tumpat untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Bagaimanapun, menerusi gambar yang tersebar dalam laman sosial, suspek lelaki itu dipercayai dibelasah orang kampung dan seluarnya turut ditanggalkan.
http://www.hmetro.com.my/node/1751