Peserta I Want Touch A Dog Hadapi Tekanan Dari Saudara Dan Rakan

Peserta I Want Touch A Dog Hadapi Tekanan Dari Saudara Dan Rakan-Orang Islam yang menyertai program 'I want to touch a dog' Ahad lepas mula memadamkan gambar mereka daripada Internet kerana bimbangkan keselamatan mereka dan privasi dalam masyarakat yang lumrahnya menganggap anjing binatang yang jijik.

Pengkritik mengambil kesempatan daripada gambar yang mudah didapati di Internet mengutuk orang Islam yang bergambar bersama anjing dalam program itu, sementara ada juga memanipulasi secara digital imej itu, menggantikan anjing dengan babi.

Bagi sesetengah peserta, serangan yang dihadapinya hanya terhad di Internet; tetapi bagi Rahim (bukan nama sebenar), beliau terpaksa menangkis cemuhan keluarga di rumah dan disisihkan rakan di kolej kerana menghadiri acara tersebut.

"Pada mulanya, ibu bapa saya menyokong saya pergi, kerana saya memberitahu mereka akan ada ustaz dan kita akan belajar bagaimana  melakukan sertu. Tetapi tiba-tiba, mereka  berubah fikiran apabila membaca akhbar pada keesokan harinya," katanya kepada The Malaysian Insider.
Akhbar bahasa Melayu menyiarkan petikan daripada ulama dan agamawan, mencerca acara itu dan penganjurnya yang didakwa tidak menghormati Islam.

Pada Selasa, muka depan Sinar Harian menyiarkan berita dengan tajuk besar “Semua wajib taubat”, dengan gambar gadis Islam menyentuh anjing, tetapi wajah mereka dikaburkan.

“Tiba-tiba saja, mak dan ayah marahkan saya, tanya saya kenapa saya pergi ke sana, mereka kata keseluruhan acara itu haram,” kata Rahim.

“Ibu saudara saya kata program itu cubaan menyesatkan iman orang Islam, datuk dan nenek saya marah bila mereka perasan gambar kawan-kawan saya dalam suratkhabar,” katanya.

Rahim berkata, ibu bapanya suruh membuang daripada Instagramnya gambar dia menghadiri program itu, malah ibunya berkeras menyuruhnya memadam semua baki gambar yang ada di dalam simpanan komputer ribanya.

"Emak juga menghadapi tekanan daripada rakannya di pejabat; mereka cam gambar saya di akhbar dan bertanya macam-macam kepada emak mengenainya. Dia tidak tahu apa hendak jawab kepada mereka.

"Tetapi mereka takkan selama-lamanya hendak marahkan saya," kata pemuda itu, yang menambah dia tidak menyesal menghadiri program itu dan tidak berhasrat memadam gambarnya daripada komputer ribanya.

Bagaimanapun, beberapa rakan melabelnya 'sesat' dan tidak mahu berjumpa dengannya, manakala mereka yang terus bersamanya memberi amaran kepadanya pelajar senior di kolej mula mengutuknya.

"Salah seorang kawan letakkan gambar saya dengan anjing dalam kumpulan wechat kami, dan menulis 'hey ini kawan saya yang sesat'," kata Rahim, merujuk kepada platform mesej segera yang popular.

"Seorang lagi rakan bertanya kepada saya jika saya masih beragama Islam. Jadi, saya tinggalkan kumpulan itu. Tetapi mereka mungkin masih mengumpat saya di situ,” katanya,

Farhana (bukan nama sebenar), pada mulanya geli hati melihat gambarnya tersengih lebar sambil mengusap anjing pada program itu yang diterbitkan di portal berita dan suratkhabar.

Dia dan keluarganya ketawa melihat mereka yang tidak dikenali bertindak 'merepek' dengan meletakkan gambarnya di Twitter, dan ada yang membuat spekulasi sama ada dia seorang pengikut Syiah atau penganut Kristian.

Tetapi, ketawa itu bertukar menjadi cemas apabila saudara-mara jauh mula menyerang ibunya selepas mereka melihatnya membelai anjing melalui berita di televisyen pada malamnya.

"Bapa saudara saya menelefon emak saya. Katanya, emak saya tidak pandai jaga anak, saya memalukan keluarga.

"Ibu saudara saya menjerit-jerit marahkan emak, katanya kami tidak tahu agama, kami memalukan nenek moyang kami. Teruk betul," kata Farhana.

Katanya, saudara-mara yang tidak setuju dengannya malah berkumpul untuk membincangkan bagaimana dia boleh jadi seorang "Islam yang begitu teruk".

"Nasib baiklah emak saya okay pasal saya pergi ke program itu. Dia faham acara itu tentang apa dan dia juga baca tulisan ulama seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengatakan menyentuh anjing tidak haram.

"Tetapi dia pesan juga supaya jangan letak gambar saya di media sosial kerana orang akan menilai saya. Tetapi saya tidak setuju. Saya tidak fikir saya perlu takut dengan apa yang orang bodoh fikir tentang saya," kata Farhana.

Di Facebook, penganjur acara itu meminta semua peserta membuang gambar mereka daripada Internet bagi melindungi mereka yang turut berada di dalam gambar itu.

"Kami, pasukan di sebalik IWTTAD (I Want to Touch a Dog) dengan rendah diri ingin meminta semua peserta acara itu, tidak kira apa warna t-shirt yang dipakai pada hari itu, tolong buang mana-mana atau semua gambar yang mungkin anda letakkan.

"Keputusan ini bukan bertujuan merendahkan pandangan atau pemikiran sesiapa dalam perkara ini," mereka menulis.

Menurut laporan, pengguna Internet yang marah menghantar mesej berbaur kebencian kepada peserta yang gambar mereka disiarkan, dan mereka menyasarkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, penganjur Syed Azmi Alhabshi mendiamkan diri selepas menerima ancaman bunuh dan dicerca rakan beragama Islam kerana menganjurkan acara itu. –TMI

0 comment... add one now