Harga Alza 2014 Lebih Murah Sehingga RM5,500

Harga Alza 2014 Lebih Murah Sehingga RM5,500 | PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan kereta Perodua Alza serba baharu dengan pengurangan harga atas jalan antara dua dan tujuh peratus berbanding sebelum ini, menjadikannya kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan harga paling kompetitif di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid berkata, selain pengurangan harga atas jalan, Alza baharu itu juga melalui penambahbaikan keseluruhan bernilai RM4,000.

“Pengurangan harga ini dibuat melalui pengurangan kos secara berkesan bermula rangkaian pembekal, kilang, pembuatan, pusat servis, pusat jualan serta menambah baik produktiviti barisan hadapan.

“Kami mampu kurangkan harga atas jalan Perodua Alza generasi baharu ini antara RM1,000 sehingga RM5,500 (bagi tiga varian berbeza), sekali gus menyahut seruan kerajaan supaya syarikat automotif melakukan pengurangan harga kenderaan secara berperingkat,” katanya dalam Majlis Pelancaran Perodua Alza Generasi Baharu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, Perodua menyasarkan 4,300 unit Alza baharu itu dijual setiap bulan tahun ini, berbanding 3,800 unit setiap bulan bagi model sebelum ini pada 2013.

"Kami sasarkan peningkatan sumbangan jualan Alza kepada 26 peratus daripada jualan keseluruhan Perodua tahun ini, berbanding 23 peratus tahun lalu,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada November 2009 sehingga Disember 2013, sebanyak 169,000 unit Alza berjaya dijual.

Menurut Aminar, jumlah keseluruhan MPV yang dijual daripada 2010 sehingga 2013 di Malaysia adalah 396,000 unit, menjadikan Alza MPV paling banyak dijual sepanjang tempoh itu.

Perodua Alza generasi baharu ditambah baik melalui ciri-ciri keselamatan lebih baik, rekaan dalaman lebih versatil dan penjimatan penggunaan minyak.

Ia boleh didapati dalam tiga varian iaitu standard dan edisi Khas dengan transmisi automatik dan manual, serta Versi Advanced transmisi automatik serendah RM52,400 sehingga RM64,000 seunit.- Sinarharian

0 comment... add one now