Saat Cemas Rumah Wartawan Perempuan Diceroboh

Saat Cemas Rumah Wartawan Perempuan Diceroboh | Suspek berusia dalam lingkungan 20-an berasal dari Kampung Batu Hitam dekat sini dipercayai menyembunyikan diri kira-kira tiga jam selepas gagal keluar apabila salah seorang penghuninya iaitu wartawan sinar harian yang pulang kira-kira jam 6.15 petang.
Usaha mengesan suspek yang dijalankan tuan rumah bersama beberapa rakan kira-kira jam 6.30 petang menemui jalan buntu.

KUANTAN - Tanda-tanya berhubung dalang  yang memecah masuk rumah sewa dua wartawan Sinar Harian Edisi Pahang di Taman Satelit Damai di sini terjawab selepas seorang lelaki dipercayai penagih gam ditemui menyorok dalam ruang stor rumah itu, malam kelmarin.

Pencarian kali kedua disertai penduduk kampung bersama tiga anggota polis  di ruang siling dan tangki air juga tidak menemui sebarang tanda atau individu lain yang disyaki

Bagaimanapun, usaha kali ketiga kira-kira jam 9 malam yang turut disertai pegawai penyiasat berjaya mengesan suspek yang ketika itu bersembunyi di sebalik  tikar  di dalam stor.

Ketika ditemui, suspek memegang gunting pokok dipercayai digunakan untuk mempertahankan diri.

Hasil semakan polis turut mendapati, motosikal jenis Honda Wave yang digunakan suspek disahkan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Kampung Batu Hitam.

Wartawan biro Sinar Harian Pahang, Erma Yusnida Jusoh, 31 berkata, rumah sewa tersebut dihuni bersama Ketua Wartawan, Aswany Omar, 37 sejak 2009.

Menurutnya, pada hari kejadian dia bercuti dan keluar rumah kira-kira jam 4 petang untuk satu urusan.

“Saya kembali kira-kira jam 6.15 petang dan mendapati siling ruang hadapan pecah manakala sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti pemiliknya diletakkan berhampiran rumah.

“Saya mensyaki rumah dipecah masuk lalu menghubungi Aswany di pejabat serta tuan rumah sebelum masuk melihat keadaan di dalam,” katanya.

Dia berkata, keadaan dalam rumah sunyi sepi ketika itu bagaimanapun hatinya mula berdebar selepas melihat siling bahagian bilik air utama turut dipecahkan.

“Tidak lama kemudian tuan rumah bersama beberapa rakan tiba dan memeriksa bahagian dalam rumah termasuk di bahagian bumbung bagaimanapun tiada kelibat individu asing ditemui.

“Menyedari keadaan sudah ‘selamat’ kami ke Balai Polis Beserah untuk membuat laporan berhubung kejadian tetapi beberapa penduduk di sini masih memantau,” katanya.

Erma berkata, kira-kira jam 9 malam anggota polis datang ke rumah untuk menjalankan siasatan.

“Beberapa penduduk yang ada bersama ketika itu tidak puas hati lalu memeriksa semua ruang dan mendapati suspek bersembunyi di sebalik lipatan tikar,” katanya.

“Sebenarnya, ruang itu sudah diperiksa, mungkin disebabkan barang yang bersusun, suspek berjaya menyembunyikan diri elak dikesan,” katanya.

Katanya, ekoran kejadian dia dan Aswany trauma memandangkan kejadian itu kali kedua sejak tinggal di situ.

“Walaupun tiada kehilangan barang berharga, detik-detik ketika berseorangan tanpa menyedari ada tetamu tidak diundang dalam rumah amat menakutkan.

“Mujurlah pencuri tidak mengambil kesempatan mengancam keselamatan saya ketika itu kerana mungkin dia juga dalam ketakutan,” katanya.

Mereka berdua berterima kasih kepada penduduk perumahan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sehingga tertangkapnya suspek tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.-SinarHarian

0 comment... add one now