30 Tembakkan Misteri Di KK Dilakukan Remaja Nakal | Rakan kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah hotel bajet di Damai, Luyang menunjukkan sebuah kereta memecut laju selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke arah pintu masuk hotel tersebut kira-kira tengah malam Jumaat.
Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berpakaian hitam dan memakai hud hitam terlibat dalam insiden tembakan itu.
"Mereka kelihatan seperti sekumpulan remaja, mereka memandu laju selepas insiden tembakan itu.
"Anda tidak dapat melihat imej itu dengan jelas tetapi mereka kelihatan muda," kata seorang penyelia sebuah restoran, Dominic Peter yang menyaksikan rakaman CCTV itu.
Seorang pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang menjadi sasaran kumpulan tersebut berkata, dia terdengar sesuatu mengenai pintu kaca.
"Ketika saya ingin memeriksa, cermin tingkap itu berkecai," katanya.
Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata, pada mulanya dia menyangka seseorang membaling objek keras ke arah cermin tingkap itu.
"Kadangkala cermin tingkap ini boleh retak dan saya fikir itu yang terjadi," katanya.
Rakyat di negeri itu dihantui kebimbangan selepas 30 tempat di Kota Kinabalu, Inanam dan Penampang dijadikan sasaran tembakan misteri, dipercayai angkara tiga kumpulan yang melepaskan tembakan menggunakan pistol angin dan guli sebagai peluru.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Polis menolak dakwaan kejadian tembakan di Kota Kinabalu mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata Sulu atau percubaan menceroboh Lahad Datu.
Mereka percaya insiden tembakan itu dilakukan oleh budak nakal (juvana) dan meminta penduduk di negeri tersebut untuk bertenang.-mStar