Harian Metro Sahkan Jasad Bayi Terapung

Harian Metro Sahkan Jasad Bayi Terapung | Semalam, berita muka depan Harian Metro dan web myMetro memaparkan gambar jasad bayi masih utuh walaupun sudah puluhan tahun dikebumikan yang sedang didukung penggali kubur, Abdul Ghani Ibrahim, 70, kelihatan seperti terapung menjadi viral dengan 45,000 kongsian di laman sosial selepas ada pembaca prihatin membangkitkan ketulenan gambar berkenaan selain ada yang percaya ia kejadian di luar biasa.


ALOR GAJAH: Jasad bayi yang kelihatan terapung di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang di sini, Sabtu lalu bukanlah gambar palsu menggunakan teknik pengolahan foto, malah penggali kubur yang mendukungnya menafikan melambung jenazah bayi itu.

Kejadian aneh itu yang disiarkan, kelmarin dirakam menggunakan kamera wartawan sambilan akhbar Harian Metro secara spontan.

Mengulas kejadian itu, Abdul Ghani berkata, dia hanya menatang jenazah bayi perempuan itu ketika kerja mengalihkan tujuh pusara lama terletak di luar kawasan Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, di sini, Sabtu lalu.

“Tidak mungkin saya sanggup melambungkan jenazah bayi berkenaan dan perkara itu sepatutnya tidak dijadikan bahan pertikaian," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, hari ini.


Penggali kubur, Abdul Ghani Ibrahim, 70, mendukung jasad bayi di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Alor Gajah Melaka sambil diperhatikan penduduk setempat. Jasad bayi kelihatan seperti terapung manakala sebelah kaki dilihat muncul dari antara kelangkang Abdul Ghani.


Penggali kubur, Abdul Ghani Ibrahim, 70, meletakkan jasad bayi berusia puluhan tahun tetapi masih elok itu ke tanah untuk dibetulkan kafannya. Kaki misteri pada gambar pertama sebenarnya kaki seorang remaja berbaju T kuning berbelang hitam yang terlindung oleh tubuh Abdul Ghani.

Abdul Ghani mendukung jasad bayi manakala remaja berbaju belang terbabit beredar ke tepi jalan raya.



Penduduk setempat memerhatikan seorang pemuda menggali liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang.



Jasad bayi dikebumi semula.

"Selepas digali, jasad bayi itu saya kafan dan tatang dengan berhati-hati kerana ia terasa berat dan tidak berganjak sedikit pun dari kedua-dua belah tangan saya sehingga selamat dikebumikan,” katanya.

Menurutnya, dia menatang jenazah terbabit sejauh kira-kira 100 meter untuk masuk ke kawasan tanah perkuburan dan mendakwa terhidu bau wangi pada jenazah itu.

Katanya, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menyalah anggap paparan gambar berkenaan selain menolak kemungkinan ia kesan olahan komputer kerana perkara seperti itu tidak boleh dianggap gurauan.

"Apa yang berlaku adalah kebesaran Allah kerana saya yang menatang jasad bayi itu tanpa memberi kepada orang lain. Tanggapan digembar-gemburkan sesetengah pihak mengatakan ia adalah teknik olahan komputer adalah tidak benar.

"Saya berharap mana-mana pihak yang mensensasikan isu paparan gambar itu mengambil kejadian ini sebagai satu iktibar kepada kita yang masih hidup kerana tiada apa yang mustahil. Allah Maha Berkuasa," katanya.

0 comment... add one now