Tarikh BR1M 3.0 Pada Febuari 2014

Tarikh BR1M 3.0 Pada Febuari 2014 | Buat pertama kalinya, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

Kuala Lumpur: “BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) 3.0 akan dilaksanakan dua minggu lagi pada pertengahan Februari, ia akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang,” kata Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, 7.9 juta rakyat layak menerima bantuan yang akan meringankan beban mereka khususnya kesan kenaikan harga barangan masa kini.

Permohonan BR1M 3.0 bakal memanfaatkan rakyat yang layak termasuk 6.8 juta penerima sedia ada dibuka pada 23 Disember lalu sebelum ditutup Jumaat ini.

Semasa membentangkan Bajet 2014 Oktober lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan nilai dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion bagi melaksanakan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan sedar rakyat berdepan dengan masalah kesan kenaikan harga dan inflasi kebelakangan ini.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi pelbagai langkah dan program termasuk yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang ditubuhkan dalam usaha mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil berat masalah rantaian bekalan yang wujud apabila ada pemborong menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar harga.

“Kesan musim tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga juga diambil kira, namun dengan langkah yang diambil kerajaan akan bendung perkara ini,” katanya.

Pada masa sama, Najib berkata, MT memberikan sokongan padu kepada semua dasar kerajaan dan langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat memandangkan dalam keadaan ekonomi negara masih teguh.

“Pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara,” katanya.

0 comment... add one now