Keadaan sama turut berlaku dalam kalangan pasangan mualaf. Ketika berkahwin keluarga terpaksa menerima keputusan yang diambil anak masing-masing, tetapi sekiranya berlaku pertelingkahan atau pertengkaran keluarga akan ‘mencucuk’ pasangan bercerai,” katanya, di sini.Putrajaya: Isu sekecil berebut selimut di atas katil hingga campur tangan pihak ketiga termasuk keluarga, saudara mara, kekasih dan kawan adalah antara punca perceraian yang berlaku dalam kalangan pasangan Islam di negara ini.
Walaupun kedengaran tidak munasabah dan perkara itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik tanpa pertengkaran, namun dalam dunia realiti isu itu memang berlaku sehingga terlafaz talak dari mulut suami.
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata, kajian mendapati masalah campur tangan keluarga hingga menyebabkan perceraian banyak dialami pasangan muda iaitu berumur 25 tahun ke bawah, selain pasangan yang baru memeluk Islam sebelum berkahwin.
Malah, ada dakwaan menyatakan keluarga menggunakan ilmu hitam untuk meruntuhkan rumah tangga anak menantu hanya kerana tidak menyukai atau individu itu bukan pilihan ibu bapa, namun ketika proses mengemukakan keterangan perkara itu sukar dibuktikan.
Katanya lagi, perceraian disebabkan campur tangan orang ketiga bukan hanya campur tangan keluarga mentua semata-mata, tetapi turut membabitkan pihak lain seperti saudara-mara, pasangan melakukan hubungan sulit dengan lelaki atau wanita lain.
Menurutnya, mungkin ada pihak memandang ringan perkara itu dan menganggap tidak salah mengacau rumah tangga seseorang.
Bagaimanapun, mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), di bawah kesalahan pelbagai, terdapat tiga seksyen yang memperuntukkan hukuman terhadap orang ketiga yang memujuk lari perempuan bersuami, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.-myMetro