Ketua Amalan Automotif dan Pengangkutan Frost & Sullivan bagi Asia Pasifik Kavan Mukhtyar berkata, GST akan memberi manfaat kepada kenderaan yang dijual dengan margin keuntungan kecil kerana kadar cukai itu lebih rendah iaitu enam peratus berbanding cukai jualan 10 peratus buat masa ini.
"Sekarang ini, cukai jualan sebanyak 10 peratus dikenakan kepada kenderaan yang dijual tetapi dengan pelaksanaan GST, ianya akan berubah.
"Bagi kenderaan yang dijual dengan margin keuntungan kecil, GST mungkin boleh menurunkan harga kereta. Manakala bagi segmen kenderaan mewah, kebiasaannya margin keuntungan lebih tinggi dan kemungkinan harga kenderaan mewah akan meningkat walaupun GST dilaksanakan," katanya dalam taklimat media berhubung prospek industri automotif 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelaksanaan GST pada 1 April 2015 akan menyebabkan penjualan kenderaan di Malaysia pada tahun ini meningkat kerana pembeli akan membuat keputusan untuk membeli kenderaan sebelum cukai itu dilaksanakan, tahun depan.
Sementara itu, kajian Frost & Sullivan menunjukkan industri automotif dijangka kekal positif dengan peningkatan jualan dijangka sebanyak 4.2 peratus tahun ini, sekali gus menyasarkan jualan 675,000 unit kenderaan tahun ini berbanding sasaran tahun lalu sebanyak 648,000 unit.
Menurut Kavan, unjuran peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2014 itu didorong keadaan positif ekonomi serta aliran pelaburan berterusan.
“Saya menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 5.4 peratus pada tahun ini, didorong penggunaan domestik yang kukuh serta peningkatan dalam eksport Malaysia.
“Selain itu, pengumuman Dasar Automotif Nasional yang baharu pada pertengahan Januari ini juga dilihat akan menjadi pemangkin untuk membawa industri tempatan ke hadapan melalui pendekatan serampang dua mata dan mengubah Malaysia menjadi hab pengeluaran segmen kenderaan cekap tenaga (EEV) pada 2020,” katanya.