BINTULU - Seekor ikan paus yang masih hidup ditemui terdampar di pantai Kuala Tatau awal pagi semalam oleh sebuah keluarga ketika mereka sedang berjalan-jalan di pantai berkenaan.
Rosmiros Mesral, 50, berkata beliau dan keluarganya mendapati ikan paus itu terdampar di tepi pantai dan tidak bergerak.
"Simpati dengan keadaan ikan paus itu, kami sekeluarga cuba menolaknya supaya dapat ke laut semula tetapi mengalami kesukaran, namun sekitar jam 11 pagi, ikan paus itu dapat ditolak ke laut semula," katanya.
Rosmiros menyifatkan kejadian itu sebagai ganjil kerana belum pernah ada kejadian ikan paus terdampar di pantai Kuala Tatau sebelum ini.
"Saya dilahirkan di Bintulu, dan ini kali pertama kejadian pelik ini berlaku, mungkin faktor cuaca dan keadaan laut menyebabkan ikan paus itu terdampar," katanya.
Berita penemuan ikan paus itu tersebar luas di media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan.
Antara lain, kebimbangan kemungkinan berlaku tsunami dan ada juga yang mengaitkannya dengan fenomena semasa musim tengkujuh. - Bernama
Video dibawah Ikan Paus terdampar Kuala Penyu