Anwar Ibrahim Dizinkan Pak Lah Keluar Penjara Hadiri Perkahwinan Nurul Izzah | MEMANG mengikut peraturan penjara Anwar tidak boleh keluar untuk menikahkan anaknya sendiri.
Maka saya diberi arahan untuk mendapatkan pelepasan Anwar daripada Penjara Sg. Buloh dan mengendalikan urusan-urusan berkaitan upacara pernikahan.
Masih ingat lagi masa itu saya membawa seorang bernama Ustaz Shamsul, masa itu Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara masuk ke Penjara Sg. Buloh.
Tujuannya untuk mendapatkan perwakilan wali daripada Anwar, dan diwaktu yang sama membuat latihan upacara akad nikah.
Masih saya ingat masa itu saya berlakon jadi pengantin, dan Ustaz Shamsul konon Tok Kadi yang mempersaksikan Anwar menikahkan Izzah.
Gelak besar masa itu bila Ustaz Shamsul kata "ini macam mau orang lain jadi menantu ni kang!"
Pada masa itu Tun Mahathir masih lagi menjadi perdana menteri.
Dan Tun Abdullah Ahmad Badawi @ Pak Lah adalah menteri dalam negeri.
Saya ingat lagi diarah berjumpa dengan Pak Lah untuk memohon kebenaran untuk Anwar dibenarkan keluar penjara untuk majlis akad nikah Syahrir-Izzah.
Memang tension masa tu. Turun naik tangga KDN, berulang-alik Penjara Sg. Buloh, panjat tangga Jabatan Agama Islam Wilayah untuk mengurus pernikahan mereka.
Alhamdulillah akhirnya Pak Lah memberi kebenaran untuk Anwar dibenarkan keluar untuk menghadiri upacara akad nikah Syahrir-Izzah.
Masih saya ingat lagi suasana masa itu.
Sesampai sahaja Anwar dirumah, suasana sedih dan hiba diiringi tangisan sedih bercampur gembira dengan kehadiran Anwar, bapa pengantin.
Hasil perkahwinan Syahrir-Izzah, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Raja Nur Safiyah (7) dan Raja Jarith (4).
Saya mendengar pelbagai cerita mengenai sebab permohonan perceraian itu difailkan oleh Izzah.
Saya percaya tentu ada sebab yang serius untuk menyebabkan perkara ini berlaku.
Namun saya berdoa dan berharap Syahrir dan Izzah akan berusaha keras untuk menyelamatkan perkahwinan mereka yang sudah berusia 10 tahun itu.
Kalau boleh, kenangkan betapa susah payahnya kami semua masa itu untuk mengurus perkahwinan kamu berdua.
Pernikahan kamu disempurnakan di atas airmata ramai orang.
Memang saya sekarang menentang ayah Izzah, tapi itu atas soal prinsip mempertahankan aqidah dan agama saya.
Saya juga menentang pendirian Izzah dalam soal memberi kebebasan untuk umat Melayu-Islam memilih agama termasuk boleh murtad, sebagaimana yang disebut oleh Izzah dalam Forum 'Islamic State: Which Version: Who's Responsibility' di Gereja Tabernacle USJ pada 03.11.2012 lepas.
Tetapi dalam hal perkahwinan Izzah-Syahrir, saya mengambil pendirian bahawa ini soal peribadi mereka yang tidak sepatutnya digembar-gemburkan, apatah lagi dipolitikkan.
Berilah mereka ruang dan peluang untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi menyelamatkan perkahwinan mereka, juga demi anak-anak mereka yang masih kecil.
Nasihat saya kepada Izzah dan Syahrir, berusahalah mencari jalan perdamaian.
Carilah kesepakatan. Ingatlah perceraian adalah suatu keharusan yang paling dibenci ALLAH.
Semoga ALLAH memberi petunjuk dan hidayah kepada kamu berdua.
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.