Aishah Tak Dijemput Gegar Vaganza Kerana Parti PAS

PETALING JAYA: Penyanyi Aishah masih mengimpikan hasrat untuk muncul di mana-mana pentas hiburan namun tiada pihak sudi menjemputnya ekoran penglibatan dia dalam bidang politik parti pembangkang.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 50, berharap persepsi terhadapnya segera dihapuskan selain meminta semua pihak tidak mencampur-adukkan kariernya sebagai penyanyi dan penglibatannya dalam politik.

"Secara jujurnya saya tidak pernah bersara tetapi dalam situasi tertentu saya dipinggirkan hanya kerana saya ada pendirian dalam politik.

"Saya tidak faham kenapa dua perkara itu perlu disatukan sedangkan saya sendiri tidak pernah mencampurkan hal berkenaan dan masih aktif sebagai penyanyi.

"Sudah tentu saya rindu untuk menyanyi di pentas kerana itu adalah cinta saya tetapi kerana label yang telah diletakkan kemunculan saya itu terhad dan berharap pendirian saya bukan penghalang untuk bergerak aktif dalam bidang seni," katanya kepada mStar Online.

Aishah ditemui ketika hadir pada majlis sambutan ulang tahun majalah hiburan URTV ke-45 tahun di Saloma Bistro di sini pada Ahad.



Aishah berharap penglibatannya dalam dunia politik tidak dicampur-adukkan dengan bidang seni.
Pada acara itu, Aishah mendendangkan lagu Janji Manismu dan persembahan itu mendapat perhatian ramai kerana kemantapan vokalnya masih menyerlah.

Aishah ketika ditanya mengenai kemunculannya pada acara berkenaan Aishah berkata, dia tidak menyangka disambut meriah selain dapat melepaskan rindu bersama rakan seperjuangannya sebelum ini.

"Majlis URTV ini adalah acara pertama saya dijemput dan saya sangat teruja dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama dalam industri dan saya terkejut dengan kemeriahan majlis ini tetapi rasanya orang lain lebih terkejut ketika nampak saya hadir.

"Bagaimanapun saya seronok dapat hadir kerana saya sendiri pun tidak mahu memutuskan silaturahim dengan rakan-rakan," ujarnya yang sudah 30 tahun terlibat dalam dunia seni.

Dalam pada itu, Aishah berharap dia tidak terus dipinggirkan kerana banyak pengalamannya sebagai penyanyi ingin disumbangkan kembali kepada industri.






Aishah menyampaikan lagu Janji Manismu pada majlis ulang tahun majalah URTV ke-45 tahun.



Malah kata Aishah, dia masih mengikuti perkembangan dunia seni tempatan termasuk program Gegar Vaganza 2 yang berakhir baru-baru ini.

"Banyak input yang boleh saya kongsi tetapi kerana saya ada pendirian, saya tidak dapat berbuat demikian dalam hasrat memberi sumbangan kembali kepada industri muzik.

"Saya ikuti program seperti Gegar Vaganza 2 dan ada dua buah lagu saya dinyanyikan oleh peserta tetapi tiada pula jemputan untuk saya menghadiri program berkenaan tetapi tidaklah saya berkecil hati," katanya.

Pada program Gegar Vaganza 2, Ezlynn menyampaikan lagu nyanyiannya berjudul Camar Yang Pulang manakala Farahdhiya mendendangkan Janji Manismu.

Dalam perkembangan lain, Aishah berkata, dia kini lebih banyak mengadakan persembahan tertutup dan korporat selain sedang merancang untuk tampil dengan single terbaharu khas buat peminatnya.

0 comment... add one now