LOS ANGELES : Ibu tunggal beranak tiga, Kourtney Kardashian, 36, dikhabarkan sedang hangat menjalin cinta dengan penyanyi remaja popular, Justin Bieber, 21.
Kakak kepada bintang realiti popular Kim Kardashian itu dikatakan makin menjadi tumpuan dengan gaya dan bentuk tubuh menggiurkan selepas berpisah dengan bekas suaminya, Scott Disick, 32, Julai lalu.
Menurut sumber terdekat, pasangan itu dilihat semakin mesra dan sering keluar bersama sejak akhir-akhir ini.
Malah, Kourtney juga dikatakan sering meninggalkan hotel yang didiami Bieber di Beverly Hills pada jam 4 pagi.
"Bieber kelihatan matang dan baik ketika menghabiskan masa bersama Kourtney. Ternyata Bieber sedang cuba memenangi hati Kourtney dengan menampilkan sisi matang dirinya," kata sumber itu.
KOURTNEY Kardashian dan Justin Bieber
Bekas teman lelaki Selena Gomez itu dikatakan berkongsi perkhabaran gembira dan berbangga bercerita kepada teman rapat yang dia sedang dilamun cinta dengan Kourtney.
Bieber yang popular dengan lagu Sorry itu adalah kenalan rapat keluarga Kardashian dan Jenner.
Paparazzi sempat merakamkan gambar Bieber menjaga anak Kourtney iaitu Mason, 5; Penelope, 4 dan Reign yang berusia 11 bulan.
Selain itu, bekas pengurus jelajah yang juga sahabat rapat Bieber iaitu Corey Gamble, pula sedang bercinta dengan ibu Kourtney, Kris Jenner. Bieber juga turut pernah bergambar secara santai bersama adik tiri Kourtney iaitu Kendall Jenner. - People