Tarikh Mula Sekolah Sesi 2016 Malaysia

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Sesi persekolahan tahun 2016 bagi empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akan bermula pada 3 Januari manakala negeri-negeri lain 4 Januari, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tarikh akhir persekolahan bagi empat negeri berkenaan adalah pada 24 November manakala bagi negeri-negeri lain pada 25 November, katanya.

"Seramai 448,498 murid baru akan memasuki Tahun Satu pada tahun depan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan penggal persekolahan 2016 di sini Jumaat.

Mahdzir juga dalam sidang media itu memaklumkan bahawa sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Pendidikan Daerah (JPD) terutama di kawasan berisiko banjir telah diarahkan untuk membuat persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir bagi mengurangkan kerosakan dan kerugian.

Katanya JPN dan JPD khususnya di kawasan sering dilanda banjir diminta bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan mengambil langkah awal termasuk memindahkan peralatan seperti komputer dan mesin fotostat ke tempat tinggi buat sementara waktu.

JPN dan JPD juga perlu memantau ramalan cuaca Jabatan Meteorologi setiap minggu manakala pegawai pendidikan daerah yang mendapat arahan dari JPN akan bermesyuarat dengan guru besar dan pengetua untuk membuat persediaan menghadapi banjir, katanya.

"Banjir besar akhir tahun lalu menyebabkan kerosakan berjumlah kira-kira RM100 juta (kerosakan sekolah) di seluruh negara. Ini kerana pihak sekolah tidak sempat memindahan peralatan dan kemudahan sehingga mengalami kerosakan dan kerugian.

"Sehubungan itu, langkah penambahbaikan diambil untuk membuat persediaan pada tahun ini bagi mengurangkan kerosakan," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti sedang mencari jalan untuk mengurangkan lambakan graduan pendidikan dalam negara.

"Jumlah guru yang sedang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan sudah berada pada tahap tepu," katanya.

"Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti telah bermesyuarat dan antaranya termasuk cadangan fakulti pendidikan mungkin perlu melihat semula dari segi pengambilan pelajar (bidang pendidikan) agar dapat mengurangkan bilangan pelajar.

Namun ini bukan keputusan Kementerian Pendidikan. Ia akan ditentukan selepas mesyuarat," katanya.

Mahdzir dalam pada itu berkata graduan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti (fakulti pendidikan) perlu lulus peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SSP) sebelum disahkan dalam perkhidmatan.

"Yang menjadi isu sekarang ialah ramai graduan dari IPG dan fakulti pendidikan gagal peperiksaan dan menyebabkan berlakunya lambakan graduan pendidikan," katanya.

Kini, terdapat 428,000 guru berkhidmat di seluruh negara dan kira-kira 4,500 guru bersara.

-- BERNAMA

0 comment... add one now