Cikgu Tuisyen Riba Pelajar Dan Rogo

Seorang remaja perempuan hari ini mendakwa dia menjadi mangsa serangan seksual oleh bekas guru tuisyennya di Kota Kemuning, Shah Alam ketika berusia 14 tahun kira-kira tiga tahun lalu. 
(gambar hiasan)

KUALA LUMPUR, 27 Disember:
Seorang remaja perempuan hari ini mendakwa dia menjadi mangsa serangan seksual oleh bekas guru tuisyennya di Kota Kemuning, Shah Alam ketika berusia 14 tahun kira-kira tiga tahun lalu.


Mangsa yang kini berusia 17 tahun hanya membuat laporan polis pada 18 Disember lalu itu mendakwa guru tersebut membuat serangan berkenaan pada Februari 2012 selepas kelas tuisyen tamat.

Menurutnya, guru berkenaan memanggilnya masuk ke dalam kelas kosong secara sendirian untuk bertanyakan mengenai pelajarannya.

“Guru berkenaan cuba menenangkan saya dan meminta saya duduk di atas ribanya dan apabila saya enggan dia menarik saya dan mencium saya.

“Sebulan kemudian guru berkenaan sekali lagi melakukan tindakan yang sama dan kemudiannya merogol saya selepas enggan melepaskan diri saya.

“Saya memberitahu rakan-rakan saya berhubung insiden berkenaan namun mereka tidak percaya dan mengatakan mustahil seorang guru sanggup melakukan perbuatan seperti itu,” katanya yang enggan dikenali kepada pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di sini hari ini.

Guru berkenaan juga dikatakan melakukan beberapa serangan seksual antara Mac hingga Mei tahun yang sama dan ia berlaku sebanyak lima kali.

Tambah mangsa, dia tidak berani memberitahu dan mendedahkan perkara tersebut kepada keluarganya kerana takut kepada guru tersebut.

Katanya, dia hanya memberitahu ayahnya pada Oktober lalu dan membuat laporan polis pada Disember kerana mahu memberikan fokus dalam peperiksaan SPM.

Dalam pada itu, Lim yang merupakan peguam mangsa menjelaskan pihaknya merasakan terdapat mangsa lain yang menerima nasib yang sama dan menggesa mereka tampil ke hadapan bagi membantu siasatan pihak polis.

Ujarnya, terdapat beberapa kakitangan pusat tuisyen berkenaan termasuk guru yang mahu membantu siasatan pihak polis.

“Kami berjaya mendapatkan nombor telefon mangsa yang menerima nasib yang sama dan telah menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” tegasnya

0 comment... add one now