Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.
Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.
Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.
Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.
Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.
Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.
Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.
Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.
Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.
Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'
Kaedah
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.
Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.
Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).
Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.
Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.
Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'
Berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih
Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'
Mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran
Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).
Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.
Keyakinan tentang kehidupan
Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Berdoa, Memohon keampunan dan Berserah kepada Allah
Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."
Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.
Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.