5 Filem Malaysia Kutipan Tertinggi 2014-Kutipan filem tempatan sepanjang tahun ini dilihat agak sedikit suram berbanding tahun-tahun sebelum ini, lagi-lagi filem yang ditayangkan sekitar pertengahan tahun sehingga penghujung tahun ini.
Namun, tahun 2014 masih lagi belum melabuhkan tirainya, tinggal lagi beberapa minggu sahaja lagi untuk kita menganjak ke tahun 2015, manalah tahu ada filem-filem hits yang bakal membuat kejutan di penghujung tahun ini selepas kejayaan "The Journey" mungkin?
Ayuh kita imbas kembali antara lima filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini!
The Journey (RM17.2 juta)
Siapa sangka filem arahan Chiu Keng Guan ini mampu mengejutkan industri hiburan tempatan dengan menjadi filem terlaris dalam sejarah perfileman negara apabila berjaya mengumpul kutipan tiket sebanyak RM17.2 juta sehingga kini!
Filem yang berjaya menepis rekod "KL Gangster" (RM11.7 juta) ini mengisahkan Chuan seorang bapa yang konservatif tidak bersetuju apabila anak perempuannya mahu berkahwin dengan seorang bangsa asing bernama Benji.
Namun segalanya berubah apabila Chuan dan Benji mengembara bersama untuk menghantar kad jemputan perkahwinan walaupun tidak menyukai antara satu sama lain.
Abang Long Fadil (RM4.6 juta)
Kutipan sebanyak RM4.6 juta oleh filem arahan Syafiq Yusof ini layak dikatakan hebat dengan keadaan industri filem tempatan yang agak terumbang-ambing kini.
Filem yang menampilkan Zizan Razak, Kamal Adli, Tauke Jambu, Syamsul Yusof, Aaron Aziz dan ramai lagi ini memaparkan kisah Fadil selepas Malik dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Ingin meninggalkan dunia gangster namun dirinya terpaksa melaksanakan tugasan terakhir sebelum layak berbuat demikian dan memulakan misinya dalam menakluk kawasan Kampung Berani.
Ah Beng: Mission Imposible (RM4.1 juta)
Karya mencuit hati dan padat dengan kisah komedi ini mengisahkan tentang warga Cina tempatan yang akan menyambut tahun baru, namun Ah Beng terpaksa membatalkan sambutan tahun baru kerana diberi tugasan oleh syarikatnya.
Walaupun kecewa pada mulanya, Ah Beng akhirnya bersetuju kerana misi tersebut menawarkan ganjaran sebanyak RM1 juta dan dirinya harus pergi ke Korea untuk menyamar sebagai anak orang kaya bagi menandatangani harta pusaka bernilai RM500 juta!
Filem arahan Silver ini dilakonkan oleh Jack Lim, Jeff Chin dan ramai lagi dan telah pun ditayangkan pada 23 Januari yang lalu.
Huat Ah! Huat Ah! Huat! (RM3.6 juta)
Jalan cerita yang ringkas namun padat dengan komedi dan pengajaran yang boleh diambil iktibar menjadikan filem arahan Tan Boon Huat ini berjaya mengutip keuntungan sebanyak RM3.6 juta.
Karya yang dibintangi oleh Ah Niu dan Joyce Cheng sebagai teraju utama ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Ah Huat yang jujur dalam menjalani kehidupan sehariannya dan berusaha sehingga berjaya.
Keperibadian Ah Huat mencerminkan pemuda tipikal Cina tempatan yang sentiasa melayan semua orang dengan baik dan ikhlas.
Balistik (RM2.3 juta)
Filem bertemakan gengster seringkali menjadi pilihan penonton tempatan kerana menampilkan aksi ngeri yang mendebarkan daripada barisan artis yang hebat seperti filem arahan Silver ini.
Karya terbitan Skop Production ini mengisahkan seorang pembunuh upahan dari geng mafia yang bernama Saga yang ditinggalkan isteri bernama Salina dan anaknya akibat memilih jalan hitam.
Salina kini telah berkahwin dengan Inspektor Nizam yang merupakan rakan baik Saga ketika mereka membesar di rumah anak yatim dan kini kedua-duanya menjadi serba salah sama ada harus menangkap penjahat ke muka pengadilan mahupun membunuh mana-mana individu yang cuba menghalang rancangan puak mafia.