3 Malam Mimpi Anak Mati Sebelum Anak Ditemui Tinggal Rangka

Malam sebelum anaknya didapati hilang pada 24 Oktober lalu, anaknya itu sempat membasuh baju dan menyimpan sebahagian pakaiannya untuk dibawa ke Besut bagi mengikuti pengajian agama.

Kuala Berang: “Tiga malam berturut-turut saya bermimpi anak meninggal dunia selepas menunaikan solat sunat Istikharah dan saya reda dengan ketentuan Ilahi ini,” kata Khatijah Omar, 59, ibu kepada Mohd Razali Mohd, 29, yang ditemui dalam keadaan hanya tinggal rangka di tepi Jalan Aring-Kenyir, dekat sini.

Katanya, kira-kira jam 12 tengah malam, anaknya keluar rumah bertemu rakan namun tidak berapa lama kemudian dia pulang semula untuk mengambil telefon bimbitnya.

“Kira-kira jam 2 pagi sekali lagi anak saya keluar untuk bertemu rakan namun saya tidak sempat bertanya ke mana dia pergi kerana biasanya hanya bertemu rakan di sekitar kampung ini.

“Bagaimanapun, ketika mahu mengejutkannya untuk menunaikan solat Subuh, saya mendapati tiada di dalam bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Tersat, dekat sini, semalam.

Katanya, gusar memikirkan kehilangan anak keenam daripada sembilan beradik itu suaminya Mohd Muda, 63, membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang.

Sepatutnya, sebelah pagi anak saya bertolak ke Besut, namun yang tinggal hanya beg berisi pakaian kerana dia tidak pulang selepas keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, beberapa bulan sebelum itu, anaknya menyatakan hasrat untuk mengubah dirinya ke arah yang lebih sempurna dan mendalami ilmu agama.

Katanya, berikutan kehilangan anaknya, dia sering menunaikan solat sunat Istikharah bagi mendapatkan petunjuk selain sejak dua minggu lalu dia juga mengadakan bacaan surah Yasin di rumahnya.

Khatijah berkata, sejak tiga hari sebelum penemuan rangka anaknya, dia bermimpi yang anaknya sudah meninggal dunia namun dia menaruh harapan agar anaknya segera ditemui.

“Jenazah Razali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Tersat selepas selesai proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, mayat mangsa ditemui di tepi Jalan Aring-Kenyir kira-kira 54 kilometer dari Kampung Kuala Jeneris, dekat sini, kira-kira jam 1.40 petang kelmarin.

“Rangka manusia yang berpakaian lengkap itu apabila diperiksa di dalam dompetnya menemui kad pengenalan tertera nama Mohd Razali Mohd, 29, dari FELDA Tersat, Ajil, dekat sini.

“Bapa mangsa pada 24 Oktober lalu membuat laporan berhubung kehilangan mangsa dan ketika ditemui tengkorak mangsa dalam keadaan tertiarap manakala pemeriksaan di lokasi oleh pasukan forensik tidak menemui sebarang senjata atau kesan tapak kaki di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

0 comment... add one now