Tauke Terpaksa Bayar Wanita Hamil RM626 Juta

California: Seorang wanita mendapat pampasan hampir AS$186 juta (RM626 juta) selepas menyaman bekas majikannya kerana diturunkan pangkat sebelum dipecat atas alasan ibu hamil tidak layak menjadi pengurus kedai.

Enam anggota panel juri pada akhir perbicaraan selama dua minggu itu mengarahkan pampasan diberi kepada Rosario Juarez, 43, Isnin lalu. Nilai itu termasuk ganti rugi AS$872,720 (RM3 juta) dan ganti rugi punitif berjumlah AS$185 juta (RM623 juta).

Peguam Rosario, Charles Moore berkata, mereka membuktikan majikan wanita itu, AutoZone melakukan diskriminasi.

Jurucakap Autozone pula berkata pihaknya akan membuat rayuan.

Rosario mendakwa dia bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di AutoZone pada 2000 di San Diego.

Pada April 2001, Rosario dinaikkan pangkat menjadi pengurus jualan alat ganti di AutoZone sebelum menjadi pengurus kedai berkenaan pada Oktober 2004.

Bagaimanapun, selepas hamil anak sulung pada September 2005, pengurus daerah memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak mampu untuk memenuhi tugasnya dan menurunkan pangkatnya semula kepada pengurus jualan alat ganti selain turut dipotong gaji.

Dia cuba memohon semula untuk menjawat jawatan pengurus selepas setahun namun ditolak sebelum syarikat berkenaan memutuskan untuk memecatnya pada tahun 2008. - Reuters
Video Surah-Surah untuk ibu mengandung

0 comment... add one now