Cara Elak Peniaga Cas GST Pada Pembeli

Sedikit hura-hara akan berlaku diawal pengenalan GST.Sudah tentu berlaku penipuan dengan peniaga memberi alasan tidak tahu akhirnya pembeli yang teraniaya kerana membayar lebih untuk barangan bukan GST.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkenalkan Shopper’s Guide’ (Panduan Pembeli) pada Januari depan untuk meredakan kebimbangan orang ramai terhadap peniaga tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Panduan Pembeli senarai barang kena GST itu akan menyenaraikan 944 barangan dan perkhidmatan yang termasuk dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), serta harga barangan berkenaan sebelum dan selepas GST diperkenalkan, kata Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai (Cukai Tidak Langsung dan GST) Kementerian Kewangan, M A Sivanesan.

“Maklumat ini dapat membantu pengguna untuk menganggarkan perubahan harga akibat (pengenaan) GST. Dengan cara ini mereka akan tahu jika peniaga telah mengenakan caj berlebihan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan GST untuk memastikan kelancaran pelaksanaan cukai penggunaan di negara ini, dan memantau manipulasi harga oleh peniaga yang sewenang-wenang mengaut untung.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata Panduan Pembeli akan membolehkan pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat perbandingan harga barang-barang yang tertakluk kepada GST.

“Mereka boleh membuat aduan jika mereka mendapati sebarang kenaikan besar dalam harga dilakukan peniaga,” katanya.

Panduan Pembeli senarai barang kena GST itu akan diterbitkan pada Januari depan dan akan dipaparkan di dalam portal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selama kira-kira enam bulan.

Pengguna akan diajar bagaimana untuk menggunakan panduan ini dan memaklumkan bahawa pihak berkuasa turut mempertimbangkan untuk mencetak Panduan Pembeli itu.

Kerajaan tidak mahu peniaga mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana ia akan menyembunyikan faedah sebenar pelaksanaan sistem cukai kepenggunaan ini.

Mengenai perubahan harga, Subromaniam berkata ia bergantung kepada kategori barangan atau perkhidmatan serta sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sudah dikenakan pada barangan atau perkhidmatan berkenaan.

“Bagi perkhidmatan yang pada masa ini mengenakan kadar enam peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan, tidak ada cara harga boleh naik. Malah, akan ada sedikit pengurangan dalam harga selepas GST dilaksanakan.

“Ambil restoran makanan segera sebagai contoh, ..walaupun kini ada dikenakan kadar enam peratus SST, di bawah GST, restoran boleh menuntut kembali sebahagian daripadanya sebagai cukai input. Oleh itu, ia akan memberikan beberapa penjimatan,” jelasnya.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus akan menggantikan SST mulai 1 April 2015.

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada orang ramai bahawa harga 532 item atau 56 peratus daripada 944 barang dan perkhidmatan dalam IHP dijangka berkurangan hingga 4.1 peratus.

Antaranya ialah ubat-ubatan, peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, produk plastik seperti baldi dan pinggan, kasut dan selipar, perabot, lampin bayi, sabun, daging, ayam telur, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. 354 barang dan perkhidmatan mungkin mengalami kenaikan harga tetapi ia akan menjadi kurang daripada 5.8 peratus, kata Najib.

Sementara itu, Subromaniam berkata jika perniagaan di setiap peringkat bekalan rangkaian, daripada pengilang hinggalah kepada peruncit, menaikkan margin keuntungan, pasti ia boleh membawa kepada kenaikan harga.

Bagi menangani isu ini, jabatannya merancang untuk memperkenalkan Peraturan Margin Bersih Ringgit untuk melarang syarikat daripada menaikkan margin keuntungan mereka atas nama GST.

“Ia (Peraturan Margin Bersih Ringgit) dijangka diwartakan sama ada pada akhir bulan ini atau bulan depan. Di bawah peraturan ini, perniagaan tidak dibenarkan menukar margin keuntungan mereka bagi tempoh tertentu sebelum dan selepas pelaksanaan GST.

“Berkenaan tempoh tertentu itu, kita berfikir untuk 15 bulan tetapi ia belum muktamad,” katanya. – BERNAMA

0 comment... add one now