Ibu Tak Puas Hati Tiada Kesan Rogol Pada Anak

Kajang: Polis mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol seorang lelaki di sini Selasa lalu tidak diperkosa selepas menjalani dua pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi memberitahu berikutan keputusan pemeriksaan kesihatan itu, polis tidak akan membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini memang tidak ada kes rogol membabitkan mangsa kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dibuka.

“Namun, saya mengesahkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30-an iaitu ibu kanak-kanak itu Selasa lalu yang curiga sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas anaknya selepas kanak-kanak itu didakwa keluar dengan adik angkat arwah suaminya,” katanya.

Katanya, sebelum ini kanak-kanak itu pernah beberapa kali pergi ke rumah lelaki berkenaan untuk membantu mengemas rumah dan perkara itu dimaklum kepada pengadu.

“Bagaimanapun, baru-baru ini seorang rakan pengadu memberitahu anaknya itu mengikut lelaki berkenaan keluar, namun tidak dapat dipastikan ke mana.

“Pengadu yang bimbang dan curiga dengan perkara itu tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya dirogol,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kanak-kanak berkenaan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital dan doktor mengesahkan tiada kesan koyakan pada kemaluannya.

“Pemeriksaan dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya mengesahkan tidak berlaku kejadian itu, namun pengadu masih tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan,” katanya.

Susulan itu, Ab Rashid berkata, mangsa ditahan di wad hospital berkenaan untuk pemeriksaan pakar perubatan yang seterusnya.

0 comment... add one now