BR1M Versi Indonesia Dilancarkan Jokowi

BR1M Versi Indonesia Dilancarkan Jokowi-Kad dikenali sebagai Kartu Keluarga Sejahtera dan Kartu Indonesia Sehat itu menyerupai konsep Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bakal memudahkan kelompok miskin menerima buku sekolah dan pakaian seragam selain rawatan perubatan secara percuma.
BR1M

JAKARTA – Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra disebut Jokowi pada Isnin melancarkan dua jenis kad sosial khusus untuk golongan miskin yang membolehkan isirumah terbabit mendapat perkhidmatan tertentu tanpa dikenakan apa-apa bayaran.

Ribuan penduduk berbaris panjang untuk mendapatkan dua kad pintar itu di lima buah pejabat pos sekitar Jakarta.

Program fasa pertama melibatkan sejuta keluarga miskin sebelum diperluaskan ke seluruh negara meliputi 15 juta isirumah berpendapatan amat rendah.

Program bantuan kewangan khas pemerintah itu adalah sebahagian daripada janji Jokowi semasa kempen pemilihan jawatan presiden awal tahun ini dan ia membabitkan bajet sebanyak 6.2 trilion rupiah (kira-kira RM1.7 bilion).

Langkah itu juga bagi membendung kemarahan rakyat susulan tindakan Jokowi yang bakal menaikkan harga petrol dan diesel hampir 50 peratus.

Selain itu, beliau memperkenalkan kad kebajikan yang boleh ditebus tunai sebanyak 206,000 rupiah (kira-kira RM57) Januari ini.

Timbalan Setiausaha Pasukan Kebangsaan Pembasmian Kemiskinan, Bambang Widianto berkata, kad kesihatan itu akan membantu 86.4 juta orang miskin dan pemerintah berharap dapat menurunkan kadar kemiskinan sehingga 30 peratus di seluruh negara. – Agensi

0 comment... add one now