Noda Dan Campak Keluar Gadis Dari Keretapi-Berdasarkan siasatan Wanchai didakwa melakukan serangan seksual itu sebelum mencampak mangsa ke luar gerabak ketika kereta api bergerak.
Tindakannya itu menyebabkan mangsa terhempas ke tanah dan membawa kepada kematiannya.
Mayat gadis malang itu kemudian ditemui dalam keadaan mengerikan berhampiran landasan kereta api.
Bangkok: Mahkamah Hua Hin semalam menjatuhi hukuman mati ke atas seorang lelaki atas kesalahan merogol dan membunuh seorang gadis di dalam kereta api.
Hakim memutuskan Wanchai Sangkhao, 22, seorang pekerja syarikat kereta api Thailand bertanggungjawab atas kejadian kejam dan menggemparkan negara itu pada 5 Julai lalu.
Dia yang dinamakan sebagai defendan pertama dijatuhi hukuman mati kerana membunuh, sembilan tahun penjara kerana merogol gadis bawah umur, lima tahun penjara kerana mencuri di dalam kenderaan awam dan tambahan setahun penjara kerana menyembunyikan mayat.
Wanchai juga dihukum penjara enam bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Dalam perbicaraan Wanchai mengaku salah merogol pelajar Sekolah Satrinonthaburi yang baru berusia 13 tahun ketika mangsa sedang tidur dalam gerabak kereta api ekspres dari Nakhon Si Thammarat ke Bangkok.
Sebelum hukuman dijatuhkan Wanchai membuat rayuan dengan mengaku insaf atas tindakannya dulu tetapi ia gagal melembutkan hati hakim.
Kata hakim, pengakuan Wanchai tidak boleh dianggap ikhlas kerana ketika itu dia sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain ekoran bukti dikemukakan dalam perbicaraan sangat kukuh.
Defendan kedua, Nattakorn Chamnarn, 19, dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana bersekongkol melakukan jenayah kejam itu. - Agensi