Jongkong Emas Dalam Tandas Buatkan Pesawat Mendarat Cemas Di KLIA
KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat tambang murah India terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi apabila sebuah bungkusan yang pada mulanya disyaki mengandungi bahan kimia ditemui di dalam tandas pesawat itu.Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), bungkusan itu dipercayai mengandungi tiga jongkong emas.
Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pesawat Indigo Airline yang membawa 145 penumpang dari Singapura dalam perjalanan ke Madras itu dilaporkan mendarat pukul 7.37 pagi dan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pukul 7.50 pagi.
"Seramai 18 anggota, sebuah jentera bomba KLIA dan HAZMAT dihantar bagi memeriksa pesawat yang mempunyai enam kru.
"Hasil pemeriksaan di pesawat itu, mendapati tiada sebarang kebocoran kimia pada bungkusan tersebut. Ia (bungkusan) dipercayai tiga jongkong emas yang diletakkan di dalam tandas pesawat itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Sani berkata jongkong terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Bernama