Lebih 10 Masjid Amal Semangat Berpuak Ikut Imam Politik

Lebih 10 Masjid Amal Semangat Berpuak Ikut Imam Politik | Jika selepas ini keadaan masih belum berubah, kita akan ambil tindakan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Sijil Jawatankuasa Masjid 2013/2014 bagi daerah Kuala Terengganu, di sini hari ini.
(gambar hiasan)

KUALA TERENGGANU - Lebih 10 masjid di Terengganu didapati masih mengamalkan semangat berpuak mengikut fahaman parti politik, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan memanggil jawatankuasa masjid berkenaan bagi menangani masalah tersebut.

Katanya kebanyakan masjid terbabit terletak di daerah Besut.

"Kita tidak mahu rakyat di negeri ini berpecah disebabkan fahaman politik berbeza," katanya.

Menurutnya Maidam juga mahu memastikan semua umat Islam yang datang ke masjid di negeri itu dapat beribadat dengan selesa tanpa timbul unsur-unsur kepartian.

Sementara itu, Ghazali berkata pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM2.8 juta untuk pengurusan masjid dan RM500,000 bagi membaik pulih kerosakan kecil masjid.

Peruntukan ini ialah yang terbesar yang pernah disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Maidam bagi tujuan itu, katanya.

Mengenai sijil anggota jawatankuasa masjid, Ghazali berkata setakat ini 90 peratus daripada 496 buah masjid di negeri itu sudah menerima sijil masing-masing. - Bernama

0 comment... add one now