Perompak Berparang Disangka Kejutan Hari Jadi | Shah Alam: “Saya ingat abang buat kejutan kerana hari ini hari jadi saya,” kata Nik Amir Azaddin Nik Azamuddin, 18, seorang mangsa yang terpaksa mengalami detik cemas selama 10 minit apabila diacu parang oleh empat lelaki warga asing sebaik memasuki rumah keluarganya di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.
Dia bersama enam penghuni lain termasuk dua pembantu rumah bagaimanapun bersyukur selepas empat perompak terbabit tidak sempat melakukan sebarang perbuatan ganas berikutan panik selepas dia menjerit menyuruh ibunya menghubungi polis.
“Saya dikejutkan abang kira-kira jam 4 pagi memberitahu ada perompak masuk rumah dan meminta saya berkumpul di ruang tamu kerana menyangka dia bergurau.
“Namun, abang kemudian menengking dan memberitahu dia tidak bergurau. Sebaik saja saya membuka mata, saya lihat seorang lelaki sedang memegang parang dan mengacukannya ke arah kami.
“Selepas tangan saya diikat, dua lagi perompak masuk ke sebuah lagi bilik tidur adik perempuan dan juga sepupu berusia 14 dan 22 tahun sebelum saya menjerit meminta anggota keluarga lain menghubungi polis.
“Ibu yang ketika itu berada di bilik lain terdengar jeritan dan bertindak menghubungi polis menyebabkan semua perompak melarikan diri. “Bagaimanapun mereka sempat melarikan sebuah komputer riba, seutas rantai emas, tiga telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM300 sebelum lesap dari kediaman yang terletak berhampiran Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE),” katanya.
ANGGOTA polis membuat siasatan terhadap mayat suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sejurus menerima maklumat, dua anggota polis peronda melakukan pemantauan di kawasan lebuh raya berkenaan sebelum terserempak sebuah Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.
Berikutan itu, kedua-dua anggota peronda berkenaan cuba menghampiri kenderaan itu di Kilometer 7.8 menghala ibu negara sebelum seorang daripada mereka keluar untuk menjalankan pemeriksaan, namun kenderaan suspek tiba-tiba memecut menyebabkan seorang lagi anggota polis yang berada dalam kenderaan mengejarnya.
“Pada masa sama, seorang anggota polis yang turun dari kenderaan melihat empat lelaki berbaring di dalam longkang tepi lebuh raya dan mereka dipercayai sedang bersiap sedia untuk masuk ke dalam Toyota Hilux berkenaan untuk melarikan diri.
“Sejurus mengetahui anggota terbabit menyedari kehadiran mereka, keempat-empat penjenayah berkenaan melarikan diri menyebabkan anggota berkenaan mengejar mereka, namun seorang daripadanya penjenayah berpatah balik untuk menyerang anggota itu menggunakan parang,” katanya.
Berikutan itu, anggota polis berkenaan terpaksa melepaskan tiga tembakan yang mengenai kaki dan perut menyebabkan suspek terbunuh di tempat kejadian manakala anggota polis itu turut cedera akibat terkena parang.
Sementara itu, kenderaan yang dikejar seorang lagi anggota polis akhirnya tersekat ketika cuba memasuki sebuah kilang di Jalan Batu Tiga, dekat sini sebelum dua lelaki warga tempatan berusia 24 dan 25 tahun diberkas.
Perompak Berparang Disangka Kejutan Hari Jadi
Anonymous0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →