56 Kenderaan Hangus Dalam Kebakaran Kampung Kerinchi

56 Kenderaan Hangus Dalam Kebakaran Kampung Kerinchi
BANGSAR- Tiga premis hangus iaitu sebuah kedai makan, bengkel kereta dan bengkel motosikal dalam satu kebakaran di Jalan Kerinchi Kiri, berhadapan bangunan Bangsar South, di sini, hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan api marak dengan besar dengan beberapa siri letupan kedengaran serta asap hitam dapat dilihat udara.

Difahamkan, terdapat kira-kira 50 buah motosikal berada di dalam bengkel motosikal dan enam buah kereta terbakar semasa kejadian tersebut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Pantai, Penolong Kanan Bomba Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur kira-kira jam 3.32 petang.

Menurutnya, lima buah jentera dengan kekuatan 33 anggota daripada Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

"Jentera pertama tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3.40 petang dan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 4.28 petang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca dan anggaran kerugian kebakaran berkenaan.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan pihaknya masih menyiasat samada terdapat unsur khianat dalam kebakaran berikut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya meminta pihak bertanggungjawab supaya membantu mangsa dengan secepat mungkin.

Tiga kedai sederet berhampiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur terbakar kira-kira jam 3.30 petang tadi. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

0 comment... add one now