Akaun Bank Percepat BR1M 3.0 Untuk Jaga Air Muka

Akaun Bank Percepat BR1M 3.0 Untuk Jaga Air Muka  | KUALA LUMPUR 16 Feb.  Langkah kerajaan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 menerusi akaun bank mulai 22 Februari ini bertujuan mempercepatkan agihan dan menggalakkan budaya menabung dalam kalangan penerima.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, terdapat enam faktor utama yang memudahkan rakyat jika agihan dibuat melalui kaedah itu walaupun menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pemimpin politik.

"Apabila wang bantuan diberi secara tunai di tangan, didapati ia mudah habis tetapi jika dimasukkan ke dalam akaun, biasanya separuh sahaja dikeluarkan dan ini melatih rakyat menabung," katanya selepas merasmikan Seminar Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Bahagian Subang di Dewan Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu, BR1M 3.0 akan selesai diagihkan kepada kesemua 7.03 juta penerima dalam tempoh 20 hari sahaja berbanding empat bulan sebelum ini.

Ahmad berkata, faktor kedua ialah agihan melalui akaun akan mempercepatkan bantuan sampai kepada penerima tanpa perlu diadakan banyak majlis penyerahan.

"Penerima juga terpaksa menunggu giliran mengambil wang tunai dalam tempoh terlalu lama hingga menyusahkan rakyat, ini yang kerajaan mahu elakkan," katanya.

Faktor ketiga pula, kata beliau, agihan BR1M 3.0 membabitkan kategori baharu iaitu melibatkan golongan berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Menurutnya, kaedah agihan berkenaan perlu mengambil kira menjaga air muka golongan tersebut termasuk guru sekolah daripada terpaksa menunggu giliran berjam-jam untuk mengambil bantuan tersebut.

"Faktor keempat ialah soal keselamatan iaitu agihan melalui akaun bank lebih selamat berbanding secara tunai kerana wang tunai dalam jumlah terlalu besar terpaksa dibawa ke majlis agihan," jelasnya.

Ahmad memberitahu, bagi faktor kelima pula kerajaan menyediakan surat iringan kepada para penerima sebagai pengganti salam pemimpin.

"Jadi para pemimpin setempat tidak perlu risau penerima bantuan kurang mengingati atau menghargai pemberian tersebut daripada kerajaan kerana surat itu sudah menjelaskan semuanya," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira dua juta penerima yang dikenal pasti tidak mempunyai akaun bank akan menerima wang bantuan menerusi baucar pembayaran secara berperingkat mulai 23 Februari ini.

0 comment... add one now