Menteri Arah Guru Hentikan PBS Serta Merta | Kuala Lumpur: Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan kajian semula berkenaan setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu kementerian, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
Teliti semula perlaksanaan
“Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.