KOTA BHARU - Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden akan dijaga ibu saudara mereka di Kampung Bukit Tanah, Peringat di sini.
Shaleena Norshal, 43, seorang guru yang mempunyai empat anak berusia antara dua dan 17 tahun, berkata beliau gembira kerana dapat menjaga kesemua anak saudaranya itu.
"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia, terutama Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan (Timbalan Menteri Luar) Datuk Hamzah Zainuddin.
"Bagi pihak keluarga kami amat gembira mereka kembali kepada kami di sini," katanya kepada pemberita sejurus tiba bersama-sama anak saudaranya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa malam ini.
Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.
Mengulas perancangan masa depan, termasuk persekolahan keempat-empat beradik itu, Shaleena, adik kepada Shalwati, berkata perkara itu akan dibincang dengan anggota keluarganya.
Sementara itu, suami Shaleena, Nik Ahmad Farid Nik Abdullah, 44, berkata empat beradik berkenaan memang rapat dengan anaknya dan sering tinggal di rumahnya apabila mereka pulang bercuti di kampung halaman.
"Mereka akan bersekolah di negeri ini, bagaimanapun, sekolah berkenaan belum ditetapkan lagi," katanya. Bagaimanapun, anggota keluarga tidak membenarkan pihak media menemuramah Aishah dan adik-adiknya.
Empat beradik itu tiba pukul 7.04 pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.
Mereka ditemani Hamzah, seorang pegawai khas beliau dan seorang saudara keluarga empat beradik itu. - Bernama
KOTA BHARU – Kepulangan empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal di Kelantan disambut dengan pelukan dan air mata oleh ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.
Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, tiba pada pukul 8.15 malam semalam dengan menaiki sebuah pesawat Firefly.
Seramai 12 ahli keluarga hadir di lapangan terbang termasuk datuk mereka, Nurshal Nordin, 61, memeluk mereka sebaik tiba di balai ketibaan dan empat beradik itu turut menangis ketika berada dalam pelukan ahli keluarga.
Di Kota Bharu, keempat-empat beradik itu akan tinggal bersama adik Shawati, Shaleena Norshal di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor.
Sementara itu, suami Shaleena, Nik Farid Nik Abdullah, 44, mengesahkan, empat anak saudaranya itu akan tinggal di rumah mereka.