Yaya Maembong Hampir Diculik Lanun Sulu

PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja mendedahkan pernah melalui detik cemas apabila dia dan isteri, Yaya Maembong disyaki menjadi sasaran penculikan lanun ketika sedang berbulan madu di Pulau Mabul, Samporna, Sabah pada Februari lalu.

Wan Raja, 38, berkata, perkara tersebut terjadi selepas ramai penduduk di daerah itu mengambil gambar mereka yang dikenali sebagai pelakon sehingga perkara itu sampai ke pengetahuan lanun.

"Pada hari terakhir kami di sana ramai polis meronda mengawasi kawasan pulau itu, saya ada bertanya dengan beberapa kawan di kalangan pegawai polis dan mereka beritahu bahawa mendapat maklumat tentang serangan lanun.

"Mereka juga mengesyaki lanun-lanun tersebut sedang mencari saya dan isteri kerana mendapat tahu kami artis. Walaupun kami tidak popular tapi kami difahamkan lanun tersebut ingin cuba mengambil peluang untuk mendapat perhatian besar apabila menculik kami," ujarnya kepada mStar Online, di sini, pada Isnin.

Tambah Wan, penduduk di pulau tersebut mengenali dan memanggilnya sebagai Yazeed iaitu suami kepada Zarra lakonan Izara Aishah dalam drama Teman Lelaki Upahan.

"Ketika itu drama Teman Lelaki Upahan sedang ditayangkan di TV3 dan mereka mengenali saya kerana menonton drama tersebut di slot Akasia dan memanggil saya suami Izara Aishah.

"Disebabkan itu ramai yang datang untuk ambil gambar sehingga berita saya berada di pulau itu tersebar dari mulut ke mulut," ujarnya.

Wan Raja berkata, disebabkan perkara tersebut dia mengambil keputusan untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan yang mengawal ketat di pulau tersebut dan menjaga keselamatan pelancong.

"Nasib baik kami tahu perkara itu pada hari terakhir percutian kami dan mengambil keputusan untuk keluar dari pulau tersebut sejurus mengetahui perkara itu.

"Alhamdulillah tiada apa yang berlaku dan pihak berkuasa memang mengawal ketat serta memastikan keselamatan saya dan isteri terjamin sepanjang berada di sana," ujarnya.



Wan Raja bergambar kenangan bersama penduduk di Samporna.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan berkata, dia baharu sahaja menerima berita gembira bahawa isterinya kini disahkan mengandung enam minggu.

Katanya, buat masa ini, kandungan masih lagi di peringkat awal dan belum mengalami sebarang alahan seperti kebiasaan wanita hamil.

"Pada awal minggu lalu, Yaya dan adik-adiknya yang lain buat kejutan pada saya selepas saya pulang dari penggambaran drama. Mereka tunjukkan alat ujian kehamilan pada malam saya tahu Yaya hamil.

"Perasaan saya ketika itu sangat gembira dan sukar untuk digambarkan apabila doktor mengesahkan kandungan sudah berusia lebih sebulan," ujarnya.

Katanya, dia berharap agar segalanya berjalan lancar dan urusan sepanjang sembilan bulan kandungan tersebut dipermudahkan.

"Pada peringkat awal ini memang saya nasihatkan dia supaya kurangkan buat kerja berat dan tidak benarkan diet macam dulu sebab takut boleh menjejaskan kandungan," katanya.

Pasangan Wan Raja dan Yaya Maembong berkahwin pada 12 Disember 2014 di Masjid Al-Ridhuan Ulu Klang, dekat sini.

0 comment... add one now