Himpunan Bersih 4 Serentak Di 55 Negara

Himpunan Bersih 4 akan diadakan selama 34 jam mulai 2 petang 29 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan menyaksikan penyokong di Kuching, Kota Kinabalu dan beberapa bandar besar serata dunia turut berhimpun di kawasan masing-masing.


Dr Wong Chin Huat dan Johnson Chew menunjukkan poster Bersih 4 yang akan disediakan di Facebook. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari

Warga Malaysia seluruh dunia kini berpeluang menyatakan sokongan mereka kepada himpunan Bersih 4 yang akan diadakan pada hujung bulan ini dengan memuat naik gambar mereka bersama poster yang disediakan.

Kempen yang dilancarkan bersama Bersih 2.0, Bersih Shanghai dan Global Bersih itu membolehkan mereka yang berada di perantauan untuk sama-sama menyatakan kesediaan mereka menyertai himpunan berkenaan walaupun tidak berada di Malaysia.

“Kita menghasilkan kempen ini bagi membolehkan mereka meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan di Malaysia baru-baru ini.

“Kami percaya rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik di luar negara akan menyertai kempen ini,” kata jurucakapnya, Johnson Chew dari Bersih Shanghai.

Mereka yang berminat menyatakan sokongan boleh mencetak poster yang boleh didapati daripada laman Facebook “Bersih Global Countdown” dan gambar yang diambil boleh dimuat naik ke laman sama.

Sementara itu, Ivy Josiah dari Global Bersih berkata, Bersih 4 kali ini akan menyaksikan penglibatan lebih 43 lokasi di 20 buah negara di mana bilangannya akan bertambah menjelang hujung minggu depan.

Katanya, walaupun himpunan di luar negara tidak selama 34 jam seperti yang diadakan di Kuala Lumpur, namun ia jelas menunjukkan suara mereka yang berada di luar negara.

“Semasa Bersih 3, kita ada 85 lokasi di 35 buah negara.

“Bersih 4 pada masa ini terdapat 43 lokasi dan makin bertambah di 20 negara. Saya menjangkakan ia mencecah 40 buah hujung minggu depan,” katanya.

Aktivis Bersih 2.0 Dr Wong Chin Huat berkata, himpunan Bersih memperlihatkan patriotisme rakyat Malaysia secara bersama yang memiliki latar belakang berbeza.

Katanya, ia menyatukan rakyat Malaysia merentasi sempadan negara bagi mendesak perubahan kepada pentadbiran negara.

“Kita mungkin dipisahkan dengan zon masa tetapi hati dan tindakan kita sama, mahu melihat perubahan,” katanya. – TMI

0 comment... add one now