Gol Maradona ketika menentang England pada perlawanan suku akhir di Bandar Raya Mexico mendapat perhatian apabila bola terkena tangan pemain kecil Argentina itu lalu menewaskan penjaga gol lawan, Peter Shilton yang meluru ke arahnya. Gol tersebut mendapat jolokan gol 'Hand of God'.
AKSI jaringan Maradona menumbuk bola di atas kepalanya pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England di Mexico City. - Foto telegraph.co.uk
Tunisia - Diego Maradona mencium pipi dan memeluk pengadil yang membenarkan gol yang terkena tangannya pada Piala Dunia 1986. Dia juga menghadiahkan beliau jersi Argentina yang ditandatangani pemain itu ketika kedua-duanya bertemu di Tunisia pada minggu lalu, lapor media tempatan.
Pengadil Tunisia, Ali Bennaceur gagal mengesan kesalahan Maradona dan membenarkan gol itu menyebabkan pemain-pemain England memprotes keputusan pengadil dan mereka mempertikaikan dan marah sehingga hari ini kerana membenarkan gol tersebut.
Kedua-dua individu itu bertukar-tukar hadiah pada pertemuan yang berlangsung pada Isnin lalu dengan Bennaceur menyerahkan bekas kapten Argentina itu gambar beliau, Maradona dan Shilton yang mengetuai pasukan England sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium Azteca.
Sebagai balasan, bekas pengadil yang berusi 71 tahun itu menerima baju Maradona dengan tulisan: 'Untuk Ali, kawan kekal abadi saya'.
Pada temu bual sebelum ini, Bennaceur menyalahkan penolongnya dari Bulgaria, Bogdan Dotchev kerana gagal memberi amaran kepadanya bola telah terkena tangan Maradona dan melepasi Shilton bagi membolehkan Argentina mendahului perlawanan itu dan seterusnya mennabg dengan jaringan 2-1.
"Sebelum perlawanan, FIFA telah memberi kami garis panduan dengan jelas: "Jika rakan anda berada pada posisi yang lebih baik daripada anda, keputusannya perlu diutamakan. Itu yang saya lakukan, penolong saya tidak mengangkat bendera," katanya kepada majalah bola sepak berbahasa Perancis So Foot baru-baru ini.
Beliau juga mendakwa memainkan peranan untuk gol kedua Maradona yang membawa bola dari tengah kawasan Argentina dengan mengelecek beberapa pemain pertahanan England dan gol itu disifatkan sebagai 'gol abad ini'.
"Gol itu bukan usaha sepenuh Maradona. Saya ialah pembantunya. Saya memberikan tiga advantage (tidak memberhentikan permainan). Saya tidak memerlukannya (memberhentikan permainan). Untuk kesalahan pertama, dia tersandung, kesalahan kedua berlaku di pinggir kawasan. Saya menjerit advantage, advantage.
"Dan apabila dia memasuki kawasan (penalti), saya menjangkakan (Terry) Butcher akan menjatuhkan beliau. Saya meletakkkan wisel ke bibir, saya bersedia untuk memberhentikan (perlawanan) tetapi saya tidak meniupnya.
Argentina menewaskan Jerman Barat 3-2 pada perlawanan akhir Piala Dunia 1986. -MalaysiaGazette