Saya juga bimbang hal sebegini akan mengundang perasaan takut kepada mereka yang ingin atau ada kemahuan memeluk Islam," katanya ketika sidang media diadakan di Astro sebentar tadi.
Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, berkata beliau bukan mahu merahsiakan berita murni dan gembira itu cuma perlu masa untuk mendedahkannya.
BUKIT JALIL: Penyanyi Stacy mengakui terkilan dan rasa seperti dianiaya apabila niat memeluk agama Islam pagi semalam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru berikutan video dan gambarnya ketika melalui proses berkenaan disebarkan hingga menjadi viral di laman sosial.
Video dan gambar berkenaan disebarkan oleh individu yang berada di dalam bilik ketika proses pengislaman berlaku. Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam berkongsi getar perasaannya.
"Saya sangat gembira dan bersyukur selepas selesai perkara itu. Sejurus selepas selesai, saya bergegas ke Kuala Lumpur. Cuma tak sangka apabila sampai di ibu kota, timbul hal itu. Kegembiraan saya diragut dan saya amat sedih apabila ada mereka yang dipercayai di dalam bilik itu bertindak sebaliknya.
"Bahkan ada empat orang dewasa sudah berpesan supaya tidak wujud atau timbulkan perkara sebegitu. Saya tak risau ketika itu tetapi tak sangka ada yang tidak bertanggungjawab. Saya tak dapat sembunyikan perasaan hampa dan trauma. Bahkan tak sampai hati nak tengok video berkenaan.
"Saya tak mahu berita ini diketahui secara mengejut kerana banyak hati yang perlu saya jaga, termasuk keluarga Kristian. Bahkan ada adik-beradik saya sendiri yang tak tahu mengenai perkara ini. Saya mahu proses ini berlaku secara aman dan hanya selepas semua itu baharu saya bersedia memaklumkannya.
"Saya mahu nikmati saat ini dengan setenang mungkin. Ia antara saya dengan Tuhan. Saya siap bersembunyi dan bertudung ketika berada di situ kerana tidak mahu ada yang menyedari atau membuatkan proses berkenaan terganggu.
"Saya ingatkan melakukan proses pengislaman di JB (Johor Bahru) tak akan timbul masalah berbanding jika dilangsungkan Sabah atau KL," katanya.
Stacy bagaimanapun memaafkan mereka yang berbuat demikian kerana baginya, Islam juga mengajar untuk memaafkan sesama manusia.
"Kalau ada sebarang tindakan sekalipun, terpulang kepada pihak pengurusan Astro," katanya.
Sungguh pun begitu, Stacy bersyukur niatnya untuk memeluk Islam dipermudahkan dan mendapat sokongan keluarga tercinta.
"Saya peluk Islam bukan sebab sesiapa atau kerana perihal cinta yang mengaitkan saya dengan Akim. Saya peluk Islam kerana hati dan akal saya lebih gembira dengan Islam.
"Kalau betul saya nak kahwin, baik saya masuk Islam sebelum hari nak kahwin. Tetapi, Akim dan makcik saya antara yang banyak memberi dorongan dan semangat untuk saya peluk Islam. Saya juga kosong dalam hal Islam dan saya umpama seperti bayi yang dilahirkan.
"Saya kini akan terus mendalami selok-belok Islam. Saya juga akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa kerana ia minat sejak dahulu. Cuma pastinya saya tak akan menukar diri secara drastik, termasuk dalam soal berpakaian. Cuma seiring dengan peredaran masa, saya mahu tampil matang, termasuk soal imej," katanya.
Stacy turut mendedahkan selama ini dia tidak mempunyai agama dan hanya menjadi penganut Kristian sejak tiga tahun lalu. Kini, hatinya bersama Islam.
"Bagi saya setiap agama mengajar kebaikan dan mempunyai persamaan cuma cara sahaja berbeza. Sejak kecil lagi saya bukan sahaja sudah terbiasa dengan Kristian, malah Islam. Biar pun dahulu saya tiada agama, saya percaya kepada kepercayaan satu Tuhan.
"Abang dan makcik saya pun ada yang memeluk Islam. Dahulu saya selalu bercerita soal agama Islam dengan kakak dan Kristian dengan keluarga. Ketika memilih kristian, saya sendiri belum tahu apa yang dimahukan sebenarnya dalam hidup," katanya.
Di akhir bicara, Stacy juga berharap isunya memeluk agama Islam tidak terus diperdebatkan.
"Ini keputusan saya. Yang tak suka keputusan saya itu terpulang. Cuma jangan jadikan isu agama ini berpanjangan kerana ia sangat sensitif. Kasihanilah keluarga saya juga," kata penyanyi lagu Not For Sale itu.