Gadis Cuba Dirogol Dalam Semak

SUNGAI PETANI - Seorang penuntut sebuah pusat kemahiran, di sini, bersama dua lagi rakannya masing-masing bawah umur dan masih bersekolah berdepan pertuduhan melakukan cubaan rogol dalam kejadian 12 Ogos lalu.

Ketiga-tiga tertuduh masing-masing berusia 18, 17, dan 16 tahun didakwa melakukan percubaan rogol berkumpulan terhadap seorang gadis bawah umur berusia 14 tahun di kawasan belukar di Zon Anggerik, Bandar Amanjaya, antara jam 9.45 malam hingga 2.30 pagi.

Disebabkan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun yang sama.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 375B.

Manakala bagi Seksyen 511 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang tidak lebih daripada setengah tempoh yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hasnurliza Mohd Radzi.

Dalam pada itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Shukriah Sulaiman merayu tertuduh diberi jaminan rendah memandangkan masih belajar.

Hakim Vijayalakshmi Muthusamy bagaimanapun membenarkan tertuduh yang masih menuntut itu diberi ikat jamin sebanyak RM8,000, manakala dua lagi dibenarkan ikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula 4 Oktober depan.

0 comment... add one now