Sejak seminggu lalu, terutamanya selepas khabar angin beberapa ahli Umno cuba membeli atau menyiapkan kenyataan Akuan Bersumpah (SD), pihak berkuasa penjara menyekat akses ke atas Anwar.
“Maksudnya daripada segi lawatan ke atas keluarga, akses kepada doktor dan peguam. Ini semua seolah-olah bermotifkan politik,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
“Maksudnya daripada segi lawatan ke atas keluarga, akses kepada doktor dan peguam. Ini semua seolah-olah bermotifkan politik,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
PKR mendakwa Putrajaya mengambil tindakan menyekat akses kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas wujud teori terdapat usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pihak penjara mengenakan sekatan kepada bapanya daripada dilawati ahli keluarga, doktor dan peguam sejak seminggu lalu ketika Najib berdepan dengan kemelut dalaman Umno.
Najib ketika ini menghadapi kemelut dalaman Umno susulan beberapa kontroversi dan skandal yang terpalit pada dirinya.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud plot untuk menjatuhkan Najib yang sedang dirancang pemimpin Umno sendiri.
Zahid mendedahkan pemimpin Umno itu sedang mengetuai plot dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.
Beliau berkata mereka sedang mendapatkan tandatangan kedua-dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang untuk SD bagi menukar kerajaan.
Nurul Izzah berkata, pada hari pendedahan dibuat Zahid, pihak penjara membatalkan lawatan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bertemu Anwar yang masih lagi penasihat ekonomi negeri Selangor.
“Malah lawatan Azmin atas kapasiti Anwar yang masih penasihat ekonomi negeri Selangor juga dibatalkan serta-merta.
“Ia hari sama kenyataan pelbagai teori yang dikeluarkan oleh Zahid,” katanya.
Selain itu, sekatan juga dibuat melibatkan pemimpin pembangkang, peguam dan keluarga, malah Anwar juga disekat daripada ke perpustakaan dalam penjara, kata Izzah.
“Mereka cuba menghalang pemimpin pembangkang, sama ada Lim Kit Siang, Rafizi Ramli atau Azmin daripada bersalam dengan beliau semasa di mahkamah.
“Mereka mengurangkan masa pertemuan dengan peguam daripada 2 jam kebiasaannya kepada kurang 45 minit, kurangkan akses ke perpustakaan di mana Anwar berada dalam penjara kebanyakan masa dan masa lawatan keluarga juga dikurangkan,” katanya.
Pada sidang media sama, Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari menyatakan bantahan penafian rawatan perubatan kerajaan kepada Anwar yang ketika ini berdepan masalah kecederaan bahu.
“Kami pimpinan PKR membantah keras penafian rawatan perubatan kerajaan untuk Anwar.
“Kecederaan serius yang dialami Anwar diketahui Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan hospital. Kecederaan ini menyebabkan kesakitan berterusan kepada Anwar yang mendesak keperluan pembedahan dibuat ke atas kecederaan bahunya dengan kadar segera,” kata Johari.
Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga membidas tindakan kerajaan yang tidak mengendahkan permintaan mereka walaupun Najib sendiri sebelum ini memberi jaminan akan memberi rawatan sebaiknya kepada Anwar.
“Kami sudah memohon dan merayu rawatan untuk penyelesaian masalah tersebut secara terus dan melalui peguam kami.
“Rayuan kami setakat ini tidak diendahkan pihak berkuasa,” katanya.
Johari menggesa Anwar dibenarkan diperiksa doktor yang dipilih keluarganya dan jika perlu dimasukkan ke wad ia mesti dilakukan dengan kadar segera.
“Menteri dalam negeri, pengarah Jabatan Penjara dan kerajaan bertanggungjawab penuh atas keperluan perubatan untuk Anwar dan akibat kepada tahap kesihatannya jika permintaan kami hari ini masih tidak lagi diendahkan,” katanya.
Bulan lalu, Anwar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan ke atas kecederaan bahunya yang serius kesan kemalangan kereta tahun lalu.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun sejak 10 Februari lalu kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. – The Malaysian Insider